Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar, mengesahkan Hamzah Zainudin telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, sekali gus menjadikan posisi itu kosong buat sementara waktu.
Menurut beliau, satu surat rasmi akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memaklumkan kekosongan jawatan tersebut pada masa terdekat.
“Saya rasa esok surat itu akan dihantar kerana hari ini cuti. Ia hanya pemakluman bahawa jawatan Ketua Pembangkang kini kosong,” katanya menerusi satu video di Facebook.
Beliau menjelaskan sebaik sahaja surat tersebut dihantar, kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang akan terbatal secara automatik.
Namun, PN dijangka menamakan pengganti sebelum sidang Parlimen akan datang.
“Menjelang sidang seterusnya, kita akan ada Ketua Pembangkang baharu,” tambahnya.
Mengulas cadangan daripada PAS Johor yang menyuarakan agar jawatan itu diberikan kepada pemimpin parti berkenaan, Ahmad Samsuri berkata pihaknya terbuka menerima pandangan pelbagai pihak dalam gabungan tersebut.
“Kalau tanya ramai orang, memang akan ada banyak pandangan. Semua ada hasrat masing-masing. Kita dengar dan akan bincang secara bersama,” ujarnya.
Perkembangan ini berlaku susulan tindakan Parti Bersatu memecat Hamzah daripada parti, sekali gus menamatkan keanggotaannya dalam PN.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebelum ini menegaskan kedudukan Ketua Pembangkang perlu diisi oleh wakil sah daripada gabungan itu bagi menjaga imej dan kredibiliti PN.
Beliau turut berpendapat Hamzah tidak lagi layak memegang jawatan tersebut selepas tidak lagi menjadi ahli parti dan gabungan.
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
PRN Melaka: Zahid mahu jentera BN terima PAS, alu-alukan kerjasama
BN umum 21 calon, Akmal dan Helmy kekal bertanding
PRN Melaka: PH umum 21 calon akan bertanding, Adly Zahari pertahan Bukit Katil
Pemimpin MCA keluar majlis pengumuman calon, bantah agihan kerusi di Melaka: Laporan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum