Najib Razak.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Najib Razak hari ini melibatkan tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.
Najib mengemukakan permohonan DNAA pada minggu lalu ekoran perbicaraan kes yang berjalan terlalu lama.
Semasa membaca keputusan, Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy berkata kebenaran permohonan DNAA itu dibuat kerana penantian panjang untuk perbicaraan yang menjadi beban berlarutan kepada tertuduh, sekali gus menafikan hak beliau mendapatkan penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya.
Beliau berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas menimbang faktor terdapat kelewatan terlalu lama dalam memulakan perbicaraan bagi kesalahan pengubahan wang haram terhadap Najib dan pelbagai penangguhan diberikan kepada pendakwaan bagi membolehkan mereka bersedia serta hadir untuk mengendalikan kes ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan masih belum bersedia memulakan perbicaraan dalam masa terdekat dan masih gagal mendapatkan serta mengumpul dokumen diperlukan sebagai bukti terhadap tertuduh.
Beliau berkata, prinsip kedaulatan undang-undang yang terpakai adalah bagi mengelak situasi yang memudaratkan seperti itu.
“Proses mahkamah disalahgunakan dengan pelbagai penangguhan dan kes ini masih kekal dalam sistem kehakiman tanpa penyelesaian sejak 2019, sedangkan mahkamah sentiasa bersedia mendengar dan memutuskan kes secara menyeluruh,” katanya.
Muniandy berkata, mahkamah juga mengambil kira fakta semasa bahawa pertuduhan terhadap bekas Presiden UMNO itu merujuk kepada kesalahan yang didakwa dilakukan pada 2014.
“Kini sudah tahun 2025 dan kes ini masih belum dimulakan untuk perbicaraan.
“Berdasarkan faktor itu, perintah yang paling sesuai ialah mahkamah ini melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya, supaya beliau tidak lagi dibebani pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Malah, tiada prejudis kepada pihak pendakwaan dengan perintah pelepasan ini, yang dalam istilah umum dikenali sebagai kerana pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini sekiranya mereka sudah bersedia pada masa akan datang.
“Sehingga tiba waktunya, tertuduh dilepaskan daripada semua pertuduhan terhadapnya dan perintah yang diberikan adalah DNAA,” katanya.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.
Bekas perdana menteri itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Najib yang kini ditahan di Penjara Kajang sudah disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram pada Julai 2020 membabitkan dana SRC bernilai RM42 juta.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan), Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
PRN Melaka: Adam Adli yakin calon baharu PKR mampu buat kejutan
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
Zahid beri jaminan, kemelut calon MCA akan diselesaikan
PRN Melaka: PKR tawar 30 peratus calon wanita
Tolak politik kebencian, perkukuh perpaduan: Anwar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum