Mahfuz pertahan mahasiswa bersuara, kritik pemimpin taksub politik

October 21, 2026 · Politik

Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar, mempertahankan hak mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, untuk menyuarakan pandangan mengenai rasuah, integriti dan kutipan derma bagi membantu Najib Razak membayar denda RM50 juta.

Beliau berkata, mahasiswa tidak sepatutnya berdepan kecaman hanya kerana berani mempersoalkan tindakan atau pendirian tokoh politik, sebaliknya pandangan mereka perlu dijawab dengan fakta dan hujah yang rasional.

Mahfuz turut mempersoalkan reaksi segelintir ahli politik berpengalaman yang didakwa melenting apabila mahasiswa tampil menyuarakan pendapat mengenai isu berkepentingan awam.

“Jika hujahnya salah, jawab dengan fakta. Jika bahasanya keras, tegur bahasanya. Jangan pecahkan cermin hanya kerana kita tidak suka bayangan yang dipantulkannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, budaya politik berasaskan kesetiaan kepada parti, kaum atau pemimpin tidak sepatutnya mengatasi prinsip kebenaran dan keadilan.

Menurutnya, masyarakat perlu menilai sesuatu isu secara konsisten tanpa mengira sama ada individu yang dikritik itu datang daripada parti sendiri atau pihak lawan.

“Kalau pemimpin lawan melakukan kesalahan, kita mahu dia dihukum. Kalau pemimpin sendiri melakukan kesalahan, kita mula mencari alasan,” katanya.

Mahfuz menegaskan prinsip tidak boleh berubah mengikut kepentingan politik kerana integriti seharusnya menjadi panduan yang sama kepada semua pihak, termasuk pemimpin yang mendapat sokongan sendiri.

Sehubungan itu, beliau menyeru mahasiswa di seluruh negara supaya terus berfikir secara kritis, menyemak fakta dan berani bersuara terhadap rasuah, salah guna kuasa serta budaya mengagungkan pemimpin secara membuta tuli.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan mahasiswa supaya mengelakkan fitnah dan memastikan pandangan yang disampaikan berasaskan fakta.

“Jangan biarkan ketakutan terhadap kecaman membunuh keberanian intelektual anda,” katanya.

Beliau turut menegaskan universiti bukan sekadar institusi yang melahirkan pengikut, sebaliknya perlu menjadi medan membentuk generasi yang berani bertanya, menegur dan mempertahankan prinsip.

Menurut Mahfuz, Malaysia memerlukan generasi muda yang mampu menilai tindakan pemimpin secara objektif, bukannya hanya mempertahankan individu berdasarkan kesetiaan politik.

“Negara memerlukan generasi yang berani mempertahankan kebenaran walaupun kebenaran itu tidak menyebelahi pemimpin yang mereka sendiri sokong,” katanya.

Isu itu timbul susulan perhatian terhadap pandangan Ummi Umairah mengenai persoalan integriti dan kutipan derma untuk membantu Najib membayar denda RM50 juta.

Perdebatan tersebut turut mencetuskan persoalan lebih luas mengenai kebebasan mahasiswa menyuarakan pandangan serta budaya politik yang menerima kritikan secara terbuka.

Berita berkaitan
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
17 jam lalu· Politik
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
October 22, 2026· Politik
Hutang 1MDB belum selesai, kerajaan masih menanggung: Anwar
October 19, 2026· Politik
Penjara teliti syarat tahanan rumah Najib: Saifuddin Nasution
October 18, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
PRN Melaka: PAS nafi akan umum calon sepentas dengan BN
12 jam lalu · Politik
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
12 jam lalu · Politik
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
13 jam lalu · Politik
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
13 jam lalu · Politik
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
17 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok