Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap pada majlis di NADI Kubang Semang.
Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini melakar pencapaian baharu apabila diiktiraf sebagai ahli Pusat Transformasi Digital (DTC) di bawah Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), sekali gus mengangkat peranan inisiatif komuniti Malaysia ke peringkat global.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata pengiktirafan itu membuktikan usaha pembangunan digital di peringkat akar umbi mampu memberi impak besar.
“Ini menunjukkan bahawa inisiatif komuniti seperti NADI bukan sahaja relevan, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis di NADI Kubang Semang.
Menurut beliau, pencapaian itu menjadi lebih bermakna selepas NADI sebelum ini memenangi anugerah World Summit on the Information Society Prizes (WSIS) dalam kategori pembinaan kapasiti tahun lalu.
Kejayaan tersebut mencerminkan keberkesanan program literasi dan kemahiran digital yang dilaksanakan di seluruh negara.
NADI diwujudkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai platform komuniti bagi meningkatkan celik digital, khususnya di kawasan luar bandar.
Setakat ini, sebanyak 1,099 pusat NADI beroperasi dengan keahlian mencecah hampir 1.9 juta orang, menjadikannya antara inisiatif komuniti digital terbesar di negara ini.
Fahmi menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh peranan NADI melalui peluasan program kemahiran baharu dan peluang ekonomi.
“Fokus kita jelas, rakyat bukan sekadar ada akses kepada teknologi, tetapi mampu menggunakannya untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, MCMC memaklumkan pengiktirafan itu menjadikan NADI sebagai pusat ke-16 dalam rangkaian global ITU-DTC.
Keahlian tersebut membuka akses kepada latihan antarabangsa termasuk kerjasama dengan Cisco Systems serta peluang pensijilan digital bertaraf global.
Selain itu, MCMC menyasarkan untuk melatih 180,000 usahawan melalui modul yang disediakan di pusat NADI di seluruh negara. Inisiatif ini juga tidak melibatkan kos tambahan kepada kerajaan kerana memanfaatkan kerjasama strategik sedia ada.
Menurut MCMC, langkah ini selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk memperkukuh keterangkuman digital.
“Dengan penyertaan ini, Malaysia berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai peneraju keterangkuman digital di rantau Asia Pasifik,” menurut kenyataan itu.
Malaysia kekal terbuka terima pelabur, tapi kedaulatan diutamakan: Anwar
Struktur ekonomi perlu disusun semula hadapi dunia tak menentu: PMX
Fahmi rakam ucapan takziah atas pemergian jurugambar Bernama
Lelaki tunjuk kemaluan diburu polis di UiTM Dungun
Reman pendakwah kes dana NGO dilanjutkan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan