Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menegaskan sebarang isu melibatkan institusi Undang di Negeri Sembilan sedang ditangani mengikut saluran yang sah serta berpandukan kebijaksanaan pemegang adat berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan Persekutuan akan terus memberi kerjasama penuh bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Persoalan yang melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui proses yang sah dan kebijaksanaan Undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu hadir susulan perkembangan terkini yang menyaksikan perhatian umum terhadap isu melibatkan institusi adat dan pentadbiran negeri.
Negeri Sembilan mempunyai sistem adat Perpatih yang unik, di mana Undang memainkan peranan penting dalam struktur pemerintahan tradisional, termasuk dalam pemilihan Yang di-Pertuan Besar.
Anwar turut memaklumkan telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi membincangkan perkara berkaitan institusi Raja dan pentadbiran negeri.
Dalam pertemuan itu, beliau menyatakan penghargaan terhadap kebijaksanaan baginda dalam menangani isu yang timbul.
Pada masa sama, beliau menyokong titah Tuanku Muhriz agar Menteri Besar Aminuddin Harun, terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa.
“Ini penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, menjaga kepentingan rakyat dan menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Aminuddin untuk terus memimpin dengan baik berdasarkan pengalaman dan rekod perkhidmatan.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti sentiasa dipelihara. Beliau juga menyeru rakyat agar terus berhemah dan menjaga adab ketika membincangkan isu melibatkan institusi tersebut.
“Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri,” katanya, merujuk kepada prinsip adat Negeri Sembilan.
Sebelum ini, negeri itu berdepan perhatian luar biasa susulan isu melibatkan institusi Undang dan pentadbiran negeri yang mencetuskan perbahasan dalam kalangan politik dan perlembagaan. Kenyataan Perdana Menteri dilihat sebagai usaha menenangkan keadaan dengan menekankan penyelesaian secara tertib, sah dan berlandaskan adat.
Saman fitnah: Pengarah Strategi Pemuda PAS Perak diarah bayar RM250,000
Parti Amanah nafi terlibat dalam isu dana zakat
Krisis Negeri Sembilan tak beri kesan kepada kerajaan pusat: Fahmi
Jalaluddin nafi berniat jadi Menteri Besar ganti Aminuddin
Krisis Negeri Sembilan: UMNO nafi ‘tebuk atap’, desak bubar DUN
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan