Jalaluddin Alias.
UMNO Negeri Sembilan menegaskan pendiriannya untuk kekal sebagai pembangkang berbanding bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Pengerusinya, Jalaluddin Alias berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan parti tersebut terpalit dengan kontroversi yang melibatkan Menteri Besar, Aminuddin Harun, khususnya berkaitan isu adat dan Perlembagaan negeri.
Menurut beliau, keutamaan UMNO negeri kini adalah memperkukuh parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), dengan sasaran merampas semula keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jangan gadai masa depan UMNO kerana mahu menjaga mana-mana pihak. Saya bertanggungjawab memastikan UMNO kembali ke landasan dominan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus memimpin UMNO Negeri Sembilan selagi mendapat kepercayaan daripada Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin, Jalaluddin menolak dakwaan bahawa langkah itu didorong oleh keinginan merebut jawatan.
“UMNO Negeri Sembilan tidak bertindak kerana tamak atau mahukan jawatan. Kami bertindak kerana maruah tidak boleh dijual beli,” katanya.
Beliau menambah, tindakan tersebut berlandaskan prinsip parti yang berpegang kepada janji setia terhadap agama, bangsa, tanah air, institusi raja serta nilai-nilai yang menjadi asas negeri.
Untuk rekod, UMNO sebelum ini merupakan tunjang utama pentadbiran di Negeri Sembilan, namun kehilangan kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 apabila PH mengambil alih kerajaan negeri.
Sejak itu, dinamika politik negeri terus berubah dengan kerjasama dan pergeseran antara parti.
“UMNO berprinsip, bermaruah dan berpegang kepada janji. Pantang undur, pantang menyerah,” tegasnya lagi.
Rafizi dipanggil ke SPRM pada Isnin beri keterangan
Tiada perubahan kepimpinan Negeri Sembilan, Aminuddin kekal MB: PMX
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan