Muhammad Kamil Abdul Munim.
Prestasi ringgit yang terus mengukuh bersama peningkatan unjuran pertumbuhan ekonomi oleh Tabung Kewangan Antarabangsa menjadi petanda jelas bahawa keyakinan global terhadap ekonomi Malaysia semakin pulih.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkembangan itu membuktikan asas ekonomi negara kekal kukuh selain memberi isyarat Malaysia kembali menjadi destinasi pelaburan utama di Asia.
Menurut laporan CNBC Indonesia, ringgit meningkat kira-kira 2.64 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat setakat akhir April 2026, sekali gus muncul sebagai mata wang terbaik di Asia, mengatasi China dan Singapura.
“Apa yang lebih membanggakan, pengukuhan ini bukan bersifat sementara atau spekulatif, sebaliknya menunjukkan trend konsisten hasil kekuatan asas ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, prestasi itu didorong beberapa faktor termasuk pertumbuhan ekonomi mampan, aliran masuk pelaburan asing yang positif, kestabilan politik serta pelaksanaan reformasi ekonomi yang lebih jelas.
Tambahnya, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar kerajaan dan peranan Bank Negara Malaysia turut menyumbang kepada kestabilan mata wang tempatan.
“Pengukuhan ringgit bukan sekadar angka di pasaran kewangan, tetapi simbol keyakinan dunia terhadap masa depan ekonomi Malaysia,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, IMF turut menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 4.7 peratus berbanding 4.3 peratus sebelum ini.
Menurut Muhammad Kamil, peningkatan itu mencerminkan kedudukan ekonomi negara yang semakin kukuh walaupun dunia berdepan ketidaktentuan global.
“Ini menunjukkan Malaysia berada di landasan lebih stabil, disokong permintaan domestik yang kuat, struktur eksport yang pelbagai serta keyakinan berterusan pelabur terhadap dasar negara,” katanya.
Polis siasat wanita didakwa kasari dua kanak-kanak di pusat beli-belah: Bernama
Isu curi kandungan, Fahmi minta buat laporan kepada Majlis Media
RM259.5 juta tunggakan projek luar bandar perlu dilunaskan: Zahid
25 aduan petrol bercampur air di Perak: KPDN
Sultan Selangor gering, istiadat 1 November ditunda
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum