Afdlin terasa hati dengan sindiran ‘pedas’ Rafizi

May 13, 2025 · Politik

Sindiran ‘pedas’ dibuat Rafizi Ramli terhadap Afdlin Shauki Aksan menimbulkan rasa kurang senang selebriti terkenal tersebut.

Pelawak terkenal itu mempertikai kenyataan Rafizi yang seolah-olah memperlekehkan kemenangannya dalam pemilihan parti sebagai Ketua Cabang PKR Setiawangsa apabila merujuk dirinya sebagai ‘pelawak profesional’.

“Tetapi apabila label itu digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat kepimpinan yang diberikan oleh akar umbi, maka ia membawa maksud yang berbeza.

“Seolah-olah suara ahli yang memilih saya tidak wajar dihormati hanya kerana latar belakang saya bukan daripada ‘kilang politik’,” katanya dalam satu kenyataan.

Afdlin turut memaklumkan bahawa beliau menyertai PKR bukan ketika parti berada di puncak kuasa, tetapi sewaktu ramai memilih menjauhkan diri, iaitu selepas kejatuhan kerajaan melalui Langkah Sheraton.

“Saya tidak tunggu peluang terbuka baru datang mencuba nasib. Saya tampil ketika parti sedang luka dan ramai tidak lagi percaya kita mampu bangkit. Saya memilih untuk yakin dan berjuang, walaupun dari gelanggang yang asing bagi orang politik – dunia seni,” ujarnya.

Lebih menyedihkan, kata Afdlin, masih ada pihak yang menyangka beliau hanya ‘kepala menang, badan kalah’.

“Hakikatnya, seluruh pasukan saya di Setiawangsa – Timbalan Ketua Cabang, Naib Ketua Cabang, AJK dan Ketua AMK – turut menang dalam pemilihan ini. Ini bukan kemenangan peribadi, tetapi suara kolektif akar umbi yang menuntut nafas baharu dan kepimpinan yang sedia turun padang, bukan sekadar muncul di pentas wacana,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Afdlin menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk memanjangkan polemik tersebut kerana percaya bahawa demi memastikan PKR terus relevan, semua pihak mesti meraikan perbezaan pandangan dan bukannya memperlekehkannya.

“Anak muda, profesional, golongan seni dan rakyat biasa mesti melihat parti ini sebagai rumah perjuangan yang inklusif, bukan gelanggang ejek-mengejek dalam kalangan pemuka,” katanya lagi.

Beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak, termasuk Rafizi, demi memperkukuh cabang dan memajukan parti.

Namun, katanya, beliau tidak akan berdiam diri sekiranya integriti dan mandat yang dipikul cuba dipertikai secara terbuka dan sinis.

“Saya terbuka untuk berdialog, tetapi saya tidak akan berdiam diri jika usaha saya dan suara akar umbi dipinggirkan hanya kerana saya bukan datang dari kilang politik yang sama,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak malu dengan gelaran sebagai pelawak, pengarah, penerbit, penulis, pendidik dan aktivis sosial, kerana semua itu merupakan sebahagian daripada identiti beliau sebagai anak seni dan sumber rezeki keluarga selama ini.

Berita berkaitan
UMNO perlukan kuasa untuk ‘tikam belakang’, jadi perlu kekal dalam kerajaan: Puad
August 18, 2026· Politik
Kon Yeow minta Rafizi hormati keputusan DAP
August 17, 2026· Politik
Fahmi: Jangan berhenti, perjuangan rakyat mesti diteruskan
August 16, 2026· Politik
Akta Tabung Haji akan dipinda, amanah umat Islam jadi keutamaan
August 16, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
5 jam lalu · Politik
Seorang MKT UMNO persoal gesaan ganti Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA
9 jam lalu · Politik
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
10 jam lalu · Politik
Jika BN-PH bersama, saya tak bertanding PRN Melaka: Akmal
10 jam lalu · Politik
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
August 18, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok