Mahfuz Omar.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar mencabar Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, dan Perikatan Nasional (PN) supaya mengisytiharkan secara rasmi pakatan politik mereka susulan kerjasama yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
Mahfuz menyifatkan kemenangan BN dan PN membuktikan UMNO dan PAS kembali menemui keserasian politik selepas melalui beberapa episod kerjasama, perpisahan dan usaha untuk berdamai sebelum ini.
Menurutnya, kedua-dua gabungan itu dilihat kembali bekerjasama kerana mempunyai musuh politik yang sama, iaitu PH.
“BN dan PN sudah berwuduk bersama di peti undi Melaka. Tetapi kalau hubungan politik itu sudah sampai ke tahap bersekongkol untuk menewaskan PH, jangan sekadar berwuduk. Mandi wajiblah!
“Eloklah kena mandi wajib ibarat pasangan lepas berjimak dan bersihkan segala keraguan dengan mengisytiharkan secara rasmi pakatan politik baharu antara BN dengan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, BN dan PN tidak sepatutnya terus bermain tarik tali politik dengan bekerjasama menentang PH di peringkat negeri, sedangkan UMNO masih menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Kalau sudah memilih pasangan politik yang baharu, jangan terus berpura-pura setia kepada pasangan yang lama,” katanya.
Mahfuz turut menyifatkan UMNO seperti masih menikmati kedudukan dalam Kerajaan Madani di Putrajaya, tetapi pada masa sama bekerjasama dengan pihak lain untuk melemahkan kerajaan yang disertainya.
Beliau juga mempersoalkan kenyataan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin, yang menyerahkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menentukan tindakan terhadap pemimpin parti itu dalam kerajaan, termasuk pembubaran, pemecatan atau penggantungan.
“Sejak bila perdana menteri perlu membuat keputusan bagi pihak UMNO? Bukankah UMNO mempunyai presiden, Majlis Kerja Tertinggi dan kepimpinan sendiri?” soalnya.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti berkenaan supaya berani menentukan hala tuju politik mereka secara jelas, tanpa mengamalkan pendirian berbeza antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Menang di Melaka, jangan pula malu mengaku siapa kawan. Kalau sudah berpakatan, rasmi dan berterus teranglah.
“Jangan hanya berani berkahwin politik di negeri, tetapi masih mahu menyembunyikan hubungan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Mahfuz menegaskan rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar UMNO sama ada mahu terus memperkukuh Kerajaan Perpaduan atau sekadar mengekalkan kedudukan dalam kerajaan sementara membina kerjasama politik baharu bersama PAS dan PN.
Isu hubungan UMNO dan PAS kembali menjadi perhatian susulan perkembangan politik di Melaka, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan kerjasama politik antara BN, PN dan PH menjelang pilihan raya akan datang.
Hujah Badan Peguam cabar tahanan rumah Najib didengar 17 Mac 2027
Bukan kerajaan sebar dokumen pengampunan Najib, jangan buat tohmahan
Bekas pegawai khas Najib, aktivis UMNO diperintah bayar RM433,000 kepada pendakwah
Saarani: Belum ada keperluan bubar DUN Perak
Pembubaran DUN bukan jaminan krisis Negeri Sembilan selesai: Laporan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan