Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.
Khalid Samad menyifatkan PAS sebagai ‘budak suruhan’ dan ‘macai’ Barisan Nasional (BN) susulan keputusan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi Amanah itu turut mendakwa kerjasama antara kedua-dua parti itu bukan membawa kepada perpaduan Melayu, sebaliknya hanya menguntungkan kepentingan politik masing-masing.
Khalid berkata pembahagian 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada UMNO-BN dan tujuh kerusi kepada PAS serta sekutunya memperlihatkan kedudukan sebenar parti Islam itu dalam kerjasama berkenaan.
“Pembahagian 21 kerusi kepada UMNO-BN dan tujuh kerusi kepada PAS dan rakan-rakan PAS menjelaskan kedudukan sebenar PAS sebagai hanya sekadar budak suruhan dan macai UMNO-BN dalam arena politik negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan prinsip perjuangan PAS yang sebelum ini lantang menolak asabiah, kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa.
Khalid mendakwa PAS kini mengetepikan prinsip berkenaan demi kerjasama politik dengan UMNO-BN.
Menurutnya, UMNO serta parti komponen BN seperti MCA dan MIC pula didakwa mahu meneruskan budaya politik yang disifatkannya sebagai ‘politik sakau’.
PAS, katanya, dilihat menggunakan pendekatan ‘politik pukau’ dengan pengikut yang dikatakan patuh secara membuta tuli kepada pemimpin agama.
“Halal boleh menjadi haram dan haram menjadi halal kerana akur dan patuh secara buta tuli kepada ‘ulama’ sanjungan mereka,” katanya.
Pada 21 Oktober lalu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan rundingan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka sudah dimuktamadkan.
Berdasarkan persetujuan itu, BN akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, manakala PAS dan rakan sekutunya akan bertanding di baki tujuh kerusi.
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum