Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Kerajaan bersetuju meminda dasar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan pelajar dari sekolah bukan kerajaan menduduki hanya dua mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah, sebagai laluan ke universiti awam tempatan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet dan bertujuan memberi akses lebih adil kepada pelajar daripada pelbagai aliran pendidikan.
“Mana-mana pelajar yang memperoleh kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah akan layak memohon ke universiti awam,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina di Melaka.
Menurut beliau, dasar sedia ada mewajibkan calon menduduki sekurang-kurangnya enam mata pelajaran SPM, namun syarat itu akan disemak semula untuk sekolah bukan kerajaan.
Loke menjelaskan dasar baharu itu melibatkan pelajar dari sekolah menengah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan sekolah agama termasuk institusi tahfiz.
Katanya, pelaksanaan terperinci akan dibincangkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bersama Dong Zong sebelum satu kenyataan bersama dikeluarkan.
“Ini bukan gimik politik. Yang penting, pelajar UEC (Sijil Peperiksaan Bersama) ada satu lagi laluan untuk masa depan mereka di Malaysia,” katanya sambil menambah isu itu adalah tanggungjawab bersama dan bukan soal parti atau kerajaan tertentu.
Untuk rekod, sijil UEC kini diiktiraf oleh lebih 200 universiti terkemuka dunia, namun masih belum diterima sebagai kelayakan kemasukan ke universiti awam tempatan.
Keadaan itu menyebabkan ramai lepasan UEC melanjutkan pengajian ke luar negara dan menyumbang kepada penghijrahan bakat.
“Apa yang menyedihkan, mereka boleh masuk universiti terbaik dunia, tetapi tidak universiti awam negara sendiri. Itu tidak wajar,” kata Loke.
Beliau menegaskan isu tersebut perlu diselesaikan sepenuhnya kerana Malaysia memerlukan bakat muda untuk pembangunan jangka panjang.
Semasa sidang media, beliau turut menekankan SPM tidak diwajibkan kepada semua pelajar.
“Jika tidak bercadang memohon universiti awam, mereka tidak perlu ambil SPM. Tetapi jika mahu masuk universiti tempatan, dua subjek ini adalah syaratnya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Dong Zong, Tan Yew Sing, menyifatkan pengumuman itu sebagai satu laluan baharu walaupun belum mencapai pengiktirafan penuh UEC.
“Sekurang-kurangnya ada ruang untuk berbincang dan bergerak ke depan, walaupun masih banyak perkara perlu diperjelaskan,” katanya.
Sasar 5,010 peserta sertai latihan AI di NADI seluruh negara: Fahmi
Kerajaan perkasa bantuan guaman syarie dengan peruntukan baharu RM1.5 juta: PMX
Portal rasmi KKM diserang penggodam
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar