Azalina Othman Said.
Tiada lagi ruang untuk parti politik berselindung di sebalik pendirian individu apabila kerajaan mahu setiap parti menyatakan secara rasmi secara bertulis sama ada menyokong atau menolak Akta Pendanaan Politik sebelum cadangan itu dibawa ke Kabinet, kata Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, pendirian itu perlu datang daripada parti dan bukan sekadar pandangan individu pemimpin politik bagi memastikan kerajaan mempunyai rekod jelas mengenai sokongan atau bantahan terhadap cadangan berkenaan.
“Sebab saya juga mahu tahu parti politik mana yang setuju dan tidak setuju. Kalau panggil dan tanya ahli politik, ia tidak sama dengan pendirian parti. (Pandangan sebagai ahli politik) lain, parti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Pendanaan Politik 2026 bertemakan ‘Reformasi Institusi: Membina Kepercayaan, Memperkukuh Demokrasi’ di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), hari ini.
Menurut Azalina, pendirian rasmi itu wajar ditandatangani Presiden atau Setiausaha Agung setiap parti kerana ahli politik bakal menjadi antara pihak yang tertakluk secara langsung kepada undang-undang tersebut.
“Tapi saya akan terkejut kalau ada parti yang cakap mengenai menentang rasuah tetapi tidak setuju dengan akta ini. Kenapa kan? Bagi saya, kalau parti yang saya wakili tidak akan ada masalah, pada sayalah,” katanya.
Azalina berkata, kajian persepsi awam dan sesi libat urus yang dijalankan sebelum ini secara umumnya menunjukkan penerimaan positif terhadap cadangan mewujudkan undang-undang khusus mengenai pendanaan politik.
Bagaimanapun, kerajaan masih perlu mendapatkan pandangan rasmi parti politik sebelum proses penggubalan RUU diteruskan bagi memastikan undang-undang itu sesuai dengan landskap politik Malaysia yang mempunyai parti dengan latar belakang dan asas perjuangan berbeza.
Antara perkara yang masih perlu diperhalusi termasuk skop pelaksanaan, badan kawal selia, sumber dan had sumbangan, mekanisme penerimaan dana, pelaporan, audit, ketelusan serta bentuk kesalahan dan hukuman.
Dalam isu sumbangan, Azalina berkata kerajaan perlu meneliti sumber dana termasuk sumbangan daripada pihak asing bagi mengelakkan wang digunakan untuk mempengaruhi keputusan atau dasar negara.
“Kalau orang menderma kepada parti politik, adakah kita nak tanya siapa yang menderma? Ada negara yang tidak membenarkan orang asing menderma.
“Jadi kita kena lihat setiap satunya. Tetapi kita juga perlu fikir tentang perlindungan kepada penderma,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata perlindungan kepada penderma perlu diberi perhatian supaya peraturan baharu tidak menyebabkan individu takut atau enggan menyalurkan sumbangan.
“Kalau tidak beri perlindungan kepada penderma, siapa yang hendak beri bantuan? Jadi perkara ini kita kena tengok,” katanya.
BHEUU sebelum ini merekodkan kajian persepsi awam berkaitan pendanaan politik selesai pada Februari 2026 dengan penyertaan 3,539 responden menerusi tinjauan, kumpulan fokus dan temu bual.
Azalina berkata masih ada ruang untuk RUU berkenaan diselesaikan sebelum PRU16 sekiranya proses penggubalannya dapat dimuktamadkan pada tahun depan.
“Saya pun tak tahu bila PRU16. Ikut apa yang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim… (Tapi) kalau (RUU siap) tahun depan mungkin sempatlah,” katanya.
Menurutnya, kewujudan akta itu penting bagi memberi garis panduan lebih jelas kepada ahli politik dan penderma serta mengelakkan sumbangan politik disalah tafsir sebagai rasuah.
“Sebab nanti orang bagi bantuan dianggap rasuah, sebab niat tidak diperjelaskan, resit tidak dikemukakan. Itu sebabnya kalau tiada akta ini banyak masalah boleh wujud,” katanya.
Nasib Najib ditentukan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat esok
Wanita Malaysia ditahan bawa ganja RM2.2 juta di India: Laporan
Fahmi : Penjual dadah guna istilah pelik, kelirukan pengguna dalam talian
Fahmi: Ekonomi digital ASEAN sasar AS$2 trilion menjelang 2030
Fahmi: Malaysia mahu ASEAN bersatu bendung ancaman dalam talian
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum