Media sosial.
Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dilihat tepat pada masanya ketika ancaman dunia siber seperti buli siber, eksploitasi seksual, penularan maklumat palsu dan jenayah dalam talian semakin meruncing.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye, berkata akta berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan ruang digital di Malaysia menjadi lebih selamat dan bertanggungjawab, khususnya dalam melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya.
“Akta ini meletakkan tanggungjawab yang lebih besar kepada platform dan penyedia perkhidmatan digital terhadap kandungan yang disiarkan di rangkaian mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara keperluan utama yang digariskan termasuk penggunaan alat keselamatan yang lebih kukuh, penambahbaikan sistem pelaporan, perlindungan bersesuaian umur serta usaha mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berisiko dan pemangsa dalam talian.
Katanya, langkah itu wajar dialu-alukan memandangkan ancaman siber kini semakin normal dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pengguna, terutama golongan muda.
Bagaimanapun, Lam Thye mengingatkan bahawa mekanisme perlindungan yang diperkenalkan berpotensi dilaksanakan secara keterlaluan sekiranya tidak disertakan dengan garis panduan yang jelas.
“Takrifan kandungan ‘berbahaya’ yang terlalu luas boleh mendorong platform digital menyingkirkan kandungan sah semata-mata untuk mengelak tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran penapisan berlebihan boleh menjejaskan sumber pendidikan, perbincangan berfakta dan perbualan sosial yang sihat dalam ekosistem digital.
Mengulas isu pengesahan umur mandatori, Lam Thye berkata beberapa penambahbaikan perlu dipertimbangkan agar matlamat akta tercapai tanpa mengorbankan kebebasan asas pengguna.
“Antara yang penting ialah definisi kandungan berbahaya yang lebih jelas, proses pelaporan dan penyingkiran yang telus serta mekanisme rayuan yang mudah diakses,” katanya.
Tambah beliau, undang-undang itu juga perlu membezakan antara platform komersial berskala besar dan tapak komuniti kecil yang mempunyai keupayaan pematuhan berbeza.
Menurutnya, rangka kerja keselamatan dalam talian mesti disokong oleh program literasi digital yang kukuh bagi memperkasakan ibu bapa, pendidik dan golongan muda menghadapi dunia digital dengan lebih yakin.
“Akta ini ada potensi besar, tetapi keselamatan perlu bergerak seiring dengan kebebasan. Jika dilaksanakan secara adil dan bersederhana, ia mampu mewujudkan persekitaran dalam talian yang sihat tanpa menutup ruang kepelbagaian pandangan,” katanya.
MP DAP gesa tindakan tegas berhubung isu hina simbol agama
Malaysia pantau konflik Asia Barat, nilai kesan terhadap ekonomi: Akmal Nasrullah
27 barangan dikawal sempena Aidilfitri
Mufti Perlis bimbang pengaruh gerakan Hindutva menular, punca provokasi kaum
Ringgit lemah walaupun harga minyak naik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan