Setiausaha Agung Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Parti Amanah mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan amalan tahlil sebagai bahan sindiran atau alat politik susulan kontroversi membabitkan hantaran mengenai Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang didakwa boleh mengeruhkan hubungan antara kaum.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata perdebatan sama ada tahlil merupakan sebahagian daripada syariat Islam atau sebaliknya tidak wajar dijadikan alasan untuk memperlekehkan amalan yang sudah lama diamalkan masyarakat Melayu Islam.
Menurutnya, sindiran terhadap ahli politik bukan Islam dengan mengaitkan amalan tahlil hanya akan memburukkan lagi suasana politik dan berpotensi menyemarakkan sentimen perkauman.
“Amalan tahlil sama ada merupakan syariat Islam ataupun tidak bukan tiket untuk mana-mana individu mempermainkannya sebagai alat politik. Ia juga tidak sepatutnya digunakan untuk menyindir mana-mana ahli politik terutama orang bukan Islam seolah-olah mereka turut mengamalkan amalan tahlil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kenyataan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali, yang mendakwa tahlil bukan sebahagian daripada syariat Islam juga boleh mengguris hati masyarakat Melayu memandangkan amalan itu telah menjadi tradisi sejak sekian lama.
Faiz menjelaskan, walaupun amalan tahlil sering menjadi perbahasan dalam kalangan ilmuwan Islam, pengisiannya melibatkan bacaan al-Quran, selawat, zikir dan doa yang tidak bercanggah dengan syarak.
“Walaupun tahlil menjadi perdebatan dalam kalangan ilmuwan Islam, amalan tersebut dipenuhi dengan bacaan ayat al-Quran, selawat, zikir dan doa yang kandungannya tidak bertentangan dengan syarak,” katanya.
Beliau turut menyifatkan situasi politik semasa sebagai membimbangkan apabila isu berkaitan Islam digunakan untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat Melayu, namun terdapat pihak yang memilih untuk berdiam diri apabila timbul polemik melibatkan amalan tahlil.
Menurutnya, PAS sepatutnya turut menyuarakan pendirian dalam isu berkenaan jika benar memperjuangkan kepentingan Islam.
“Exco Pemuda UMNO tersebut seharusnya menarik balik kenyataannya dan memohon maaf atas keterlanjuran kenyataan berkaitan amalan tahlil,” katanya.
Kontroversi itu tercetus selepas DAP mendesak Wan Muhammad Zuhir memohon maaf secara terbuka dan memadam hantaran di platform Threads yang didakwa menyentuh isu kononnya diadakan “majlis bacaan tahlil atas pemakaman Loke di Chennah”.
Tiada lesen judi baharu bawah Kerajaan MADANI, Sanusi jangan auta: MOF
Ismail Sabri bebas dengan jaminan RM300,000 dibayar anak
PKR Kedah: Sanusi jangan alih tiang gol, jawab isu lesen judi
RM14.7 juta, mata wang asing dan emas: Ismail Sabri didakwa
Anwar: Kebebasan mahasiswa mesti diberi sepenuhnya
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri