Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.
Parti Amanah menggesa rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dilaksanakan secara adil antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sejajar dengan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, realiti politik di kedua-dua negeri ketika ini menunjukkan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dikuasai BN hasil perkembangan politik lalu, justeru rundingan baharu perlu mengambil kira keseimbangan antara rakan gabungan.
“Kalau PRN Melaka dan Johor diadakan, kita tidak boleh bergerak dengan cara lama. Rundingan mesti adil dan saksama untuk semua parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dipetik laporan media selepas merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Ibu Pejabat KADA hari ini.
Menurut Khalid, pendekatan mengutamakan penyandang kerusi atau ‘incumbent’ tidak lagi sesuai dalam konteks politik semasa kerana ia berisiko menafikan peluang parti lain, khususnya komponen PH, untuk bertanding secara seimbang.
“Kalau kita terus guna dasar incumbent, ia jelas tidak adil. Kami harap UMNO dan BN boleh bersikap lebih terbuka dan sedia berkongsi kerusi dengan rakan dalam kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut memberi bayangan Amanah tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan yang memuaskan, termasuk pilihan untuk menilai semula strategi sokongan atau menghadapi pertandingan pelbagai penjuru.
“Semuanya bergantung kepada pendirian UMNO dan BN. Bila mereka jelaskan hala tuju, barulah kami tentukan langkah seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid menegaskan Amanah berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRN Melaka dan Johor pada bila-bila masa sekiranya pilihan raya diadakan lebih awal.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan PRN Melaka berkemungkinan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.
Beliau dilaporkan berkata UMNO negeri perlu terus bekerja keras bagi mempertahankan prestasi cemerlang selepas memenangi lebih tiga perempat kerusi DUN pada pilihan raya lalu.
Hakim sifatkan skandal 1MDB sebagai kleptokrasi terburuk dunia
Fahmi nasihat Ketua Pengarah J-Kom agar berhati-hati di media sosial
PAS cadang perpaduan Melayu, tetapi tak mahu Hamzah dalam parti
Dikritik ‘katak’ politik, Zaid sasar kembali bertanding PRU atas tiket PAS
PRN Johor: Anwar gesa pengundi pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya