Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Mohd Puad Zarkashi mengumumkan beliau meninggalkan parti itu berkuat kuasa serta-merta dengan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan politik.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beliau mendakwa wujud campur tangan dalam beberapa keputusan penting parti di negeri berkenaan, termasuk pembubaran DUN Johor sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu demi mempertahankan prinsip dan masa depan UMNO, walaupun menyedari tindakannya bakal menerima pelbagai kritikan.
“Alasan utama saya keluar UMNO ialah UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh istana dalam membuat sesuatu keputusan.
“Satu bukti jelas ialah Onn Hafiz sendiri membuat pengakuan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun lalu bahawa pihak istana menitahkan beliau supaya DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun 2026.
“Saya perlu melakukan keberanian politik mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi lebih parah. Saya sedar saya akan dikecam dan dihina, malah mungkin keselamatan saya terancam, tetapi saya bersedia berdepan apa juga keadaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Puad turut mendakwa tidak mahu UMNO dipimpin oleh individu yang disifatkannya sebagai “pengecut politik” sehingga menyebabkan calon Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai calon kitar semula, tidak membawa aspirasi golongan muda dan sekadar bersifat sederhana.
Beliau berkata kini bebas mengkritik parti itu tanpa dituduh menikam dari belakang apabila tidak lagi menjadi ahli UMNO.
“Keputusan ini bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya demi UMNO yang saya sayangi.
“Ada yang akan menuduh saya keluar kerana kepentingan diri. Hakikatnya saya meninggalkan UMNO ketika parti dilihat semakin kuat dan mahu bertanding solo di semua 56 kerusi DUN Johor, sedangkan ada pemimpin lain memilih kembali menyertai UMNO apabila melihat parti semakin kukuh. Maka siapa sebenarnya yang mempunyai kepentingan?” katanya.
Beberapa hari lalu, Puad mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada PRN Johor atas faktor usia.
Beliau berkata, sudah tiba masanya calon muda yang berkelayakan dan berpendidikan diberi peluang mewakili BN.
Sehari sebelum pengumuman calon BN Johor dibuat, Puad turut mengkritik secara terbuka senarai calon yang dikatakan bakal diumumkan oleh Pengerusi UMNO Johor merangkap Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi.
PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan selepas DUN dibubarkan awal bulan ini.
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
PRN Johor: Bekas ADUN Bersatu calon BN di Endau, Onn Hafiz kekal di Machap
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
Bersatu nafi bantah kemasukan Pejuang ke PN, bantah kemasukan PCM: Hilman
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar