Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan mendesak Menteri Besar, Ismail Lasim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) meletakkan jawatan susulan pendirian kerajaan negeri dalam kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz.
Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar berkata, perubahan pendirian Menteri Besar berhubung dokumen yang didakwa sebagai proklamasi penurunan takhta menimbulkan persoalan serius yang perlu dijelaskan kepada rakyat.
“AMK mengecam sekeras-kerasnya keputusan Menteri Besar bersama seluruh barisan Exco yang mengiktiraf penurunan takhta Tuanku Muhriz.
“Apa yang berlaku sejak beberapa hari lalu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Ismail sebelum ini mempertikaikan kesahan proklamasi berkenaan selain mendakwa beliau dipaksa menandatanganinya.
Malah, laporan polis turut dibuat berhubung dakwaan tersebut.
“Namun hari ini, Menteri Besar dan pentadbiran yang sama tiba-tiba mengambil pendirian proklamasi tersebut adalah sah.
“Pihak berkuasa perlu melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap segala dakwaan mengenai tekanan, dokumen dan proses yang membawa kepada kemelut ini,” katanya.
Mohamad Hamizan berkata rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, termasuk pihak yang didakwa memberi tekanan kepada Menteri Besar.
Katanya, isu itu tidak boleh dilihat sebagai pertelingkahan politik biasa kerana ia menyentuh institusi Raja dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Jika proklamasi itu sebelum ini dikatakan tidak sah, atas asas apa ia kini diterima sebagai sah? Adakah Menteri Besar kini menarik balik dakwaannya beliau telah ditekan?
“Undang-undang bukan bahan mainan yang boleh ditafsir hari ini dan ditukar pendirian esok mengikut keselesaan politik,” katanya.
Beliau turut menegaskan institusi Raja perlu dihormati dan tidak seharusnya dijadikan bahan percaturan politik.
Dalam masa sama, AMK Negeri Sembilan menggesa UMNO Negeri Sembilan menyatakan pendirian secara terbuka berhubung kemelut tersebut.
“UMNO mesti menjawab kepada rakyat dalam perkara yang menyentuh takhta dan Perlembagaan negeri. Tiada ruang untuk kecelaruan dan sikap lepas tangan,” katanya.
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
Tabung RM50 juta Najib: Wanita PKR persoal UMNO bawa budaya memaafkan perasuah?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum