Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan susulan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata tindakan BN menjalinkan kerjasama secara terbuka dengan PN menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan hubungan politik antara BN dan PH di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau, AMK sejak awal konsisten mengutamakan kestabilan politik sebagai asas untuk memulihkan ekonomi negara, namun perkembangan politik mutakhir memberi isyarat hubungan antara kedua-dua gabungan itu perlu dinilai semula.
“Kalau dia nak berkawan, kita kawan. Tapi kalau dia nak lawan, kita lawan. Kita tidak ada masalah.
“Saya fikir wajar untuk kita kaji semula hubungan kita, kerjasama politik PH dengan BN kerana kita tidak melihat kejujuran yang sama diberikan di pihak sana,” katanya selepas menghadiri Program Pemerkasaan Kelab Guru dan Staf serta Penyampaian Sumbangan Sekolah-sekolah Parlimen Padang Rengas di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak hari ini.
Muhammad Kamil turut berpandangan jika BN memilih untuk berdepan PH di peringkat negeri, perkara sama boleh dipertimbangkan di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan pelbagai krisis global, semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan ekonomi negara, bukannya terus terlibat dalam percaturan politik.
“Semua pihak harus melihat keutamaan negara ketika ini. Kita perlu berdiri teguh di belakang Perdana Menteri bagi memastikan politik negara kekal stabil dan ekonomi terus diselamatkan,” katanya.
Mengulas perkembangan politik semasa, beliau memaklumkan perbincangan dalam kalangan pimpinan PH sentiasa berlangsung, namun kerajaan Negeri Sembilan perlu diberi ruang meneruskan pentadbiran tanpa gangguan.
Katanya, rakyat mampu menilai pemimpin yang benar-benar menumpukan perhatian kepada tugas berbanding mereka yang sibuk menyusun percaturan politik.
Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama antara PKR dan Bersatu, Muhammad Kamil menegaskan semua parti politik perlu mengutamakan kepentingan negara.
“Ekonomi kita sedang pulih dan pelaburan semakin meningkat. Tindakan seperti ini hanya menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat serta pelabur,” katanya.
Isu kerjasama BN dan PN tercetus selepas BN mengumumkan calon bagi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada PRN Negeri Sembilan, manakala baki 11 kerusi tidak diumumkan.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi kemudian memaklumkan baki kerusi tersebut akan diumumkan oleh rakan kerjasama BN.
Teka-teki itu akhirnya terjawab apabila PN mengumumkan calon bagi kesemua 11 kerusi berkenaan, sekali gus mengesahkan kerjasama antara kedua-dua gabungan untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Fahmi: Politik kebencian dan sentimen perkauman tak selesaikan masalah rakyat
14 kertas siasatan dibuka sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan
Kempen masuk minggu kedua, Aminuddin fokus dekati pengundi seramai mungkin
BN-PN tak tergesa-gesa bentuk gabungan, UMNO berhati-hati dengan PAS
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS