Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin.
PAS dipersoal kerana dilihat tampil membela UMNO dalam pertikaian dengan PKR, malah dakwaan PKR menumpang kekuatan UMNO menyebabkan AMK menyindir parti itu sebagai ‘jurucakap tidak rasmi’ UMNO.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man itu menimbulkan persoalan mengenai peranan PAS dalam perselisihan antara kedua-dua parti berkenaan.
“Saya sedikit pelik membaca kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang begitu bersungguh-sungguh mempertahankan UMNO sehingga mendakwa PKR menumpang kekuatan UMNO.
“Sejak bila PAS dilantik menjadi jurucakap UMNO? Atau sekarang PAS merasakan mereka lebih besar daripada UMNO sehingga boleh bercakap bagi pihak UMNO?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Tuan Ibrahim mendakwa PKR tidak wajar memberi kata dua kepada UMNO untuk memilih sama ada kekal bersama Kerajaan Madani atau beralih menyokong Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut meminta PKR melihat kedudukan serta jumlah kerusi dimiliki parti itu berbanding UMNO sebelum mengeluarkan kenyataan berbentuk amaran terhadap rakan dalam kerajaan.
Danish bagaimanapun berkata, jika jumlah kerusi Parlimen dijadikan ukuran kekuatan sesebuah parti, PKR masih memiliki lebih banyak kerusi berbanding UMNO.
“Dalam PRU15, PKR menang 31 kerusi Parlimen, manakala UMNO menang 26 kerusi. Selepas tiga Ahli Parlimen PKR mengosongkan kerusi, PKR masih mempunyai 28 Ahli Parlimen. UMNO pula 26.
“Jadi kalau matematik kerusi yang mahu dijadikan ukuran, PKR masih lebih banyak daripada UMNO,” ujarnya.
Danish turut menyifatkan kenyataan Tuan Ibrahim sebagai bercanggah dengan pendirian beliau sebelum ini berhubung hubungan PAS dan UMNO.
Katanya, Tuan Ibrahim sebelum ini mengingatkan dalam rundingan PAS-UMNO supaya tidak wujud konsep ‘abang besar’ atau ‘adik kecil’, sebaliknya semua pihak perlu dianggap setara.
“Lebih lucu, baru beberapa minggu lalu Tuan Ibrahim sendiri mengingatkan dalam rundingan PAS-UMNO supaya jangan ada konsep abang besar atau adik kecil dan semua pihak perlu dianggap setara.
“Hari ini lain pula ceritanya. Bila mahu kerjasama dengan UMNO, katanya jangan ada abang besar. Bila mahu serang PKR, tiba-tiba UMNO pula jadi abang besar.
“Politik PAS ini ikut prinsip atau ikut musim?” soalnya.
Dalam pada itu, Danish berkata sebarang perselisihan antara UMNO dan PKR sepatutnya diselesaikan atau disuarakan sendiri oleh pimpinan UMNO tanpa perlu PAS tampil sebagai pembela.
“Jika UMNO ada masalah dengan PKR, biarlah pimpinan UMNO sendiri bercakap. Mereka ada Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan.
“UMNO belum sampai tahap memerlukan PAS menjadi jurucakap tidak rasmi mereka,” tegasnya.
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
Tuanku Muhriz batal pelantikan semua Exco Negeri Sembilan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum