Anwar semasa sesi taklimat bersama Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Putrajaya, malam tadi.
Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia memberikan jaminan keselamatan tertinggi kepada semua pemimpin dunia yang hadir bagi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Perdana Menteri berkata semua agensi keselamatan telah diarah untuk melaksanakan kawalan rapi bagi memastikan keselamatan setiap delegasi dan kelancaran acara tersebut.
“Isu keselamatan menjadi keutamaan kerana semua pemimpin dunia akan berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
“ Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan. Semua pemimpin dan delegasi dijamin keselamatan sepenuhnya,” tegas Anwar semasa sesi taklimat bersama Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Putrajaya, malam tadi.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada laporan mengenai rancangan beberapa pihak untuk mengadakan perhimpunan bantahan terhadap kehadiran Presiden AS itu.
Anwar menegaskan kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara selagi ia dilakukan secara aman dan mengikut lunas undang-undang.
“Malaysia kekal terbuka kepada pandangan berbeza tetapi menolak sebarang bentuk tindakan ekstrem yang boleh menjejaskan imej negara.
“Kalau ada yang mahu menyatakan pendirian, itu hak mereka. Tapi kita tidak boleh biarkan ada pihak yang cuba sabotaj atau mengganggu perjalanan sidang kemuncak ini,” ujarnya lagi.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini merupakan kemuncak kepada Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bagi tahun 2025, dengan mengusung tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’.
Jaminan ini diberikan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan sidang kemuncak berkenaan.
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum