Lawatan kerja Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan hari ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Kehadiran Perdana Menteri adalah atas jemputan khas Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, yang juga memegang jawatan Presiden G20 tahun ini dan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,Tengku Zafrul Abdul Aziz, serta beberapa ahli delegasi yang lain.
“Jemputan kepada Anwar untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 mencerminkan komitmen Afrika Selatan dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia,” menurut kenyataan Wisma Putra.
Sidang kemuncak yang mengangkat tema ‘Solidariti, Kesaksamaan, Kemampanan’ itu dilihat selari dengan tema ASEAN 2025 pimpinan Malaysia, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Sepanjang persidangan, Anwar dijangka mengetengahkan perspektif serantau ASEAN dalam dua sesi sidang kemuncak yang diadakan.
Pertemuan dua hala dengan Presiden Ramaphosa juga dijadualkan bagi meneruskan perbincangan dari lawatan pemimpin Afrika Selatan itu ke Malaysia bulan lalu.
“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan bidang kerjasama utama termasuk perdagangan dan pelaburan, minyak sawit, industri halal, pendidikan serta pembinaan kapasiti,” menurut Wisma Putra.
Selain itu, Anwar turut dijadual bertemu dengan Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe, bagi membincangkan kerjasama dalam program transformasi ekonomi negara tersebut.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Yubazlan Yusof, lawatan ini juga akan menumpukan kepada membuka peluang perdagangan dan rantaian bekalan baharu.
“Kita akan teliti barangan yang dihantar Afrika Selatan ke AS, dan menilai sama ada syarikat Malaysia boleh mengisi ruang itu,” kata Yubazlan merujuk kepada peluang yang wujud ekoran tarif tinggi Amerika Syarikat ke atas beberapa barangan Afrika Selatan.
Lawatan kerja selama beberapa hari ini turut termasuk pertemuan dengan komuniti Muslim tempatan, pemain industri utama, serta diaspora Malaysia.
Lawatan ke Johannesburg merupakan peringkat kedua lawatan Anwar ke benua Afrika, selepas mengunjungi Ethiopia dan sebelum berlepas ke Kenya.
Dewan Rakyat diberitahu lebih 21,000 remaja hamil luar nikah sejak 2019
Pembinaan rumah ibadat perlu mengikut lunas perundangan, titah Agong
Majoriti pengguna RON95 guna bawah 200 liter sebulan: Anwar
MCMC berjaya tumpaskan sindiket Stesen Pangkalan Palsu di Johor
SPRM nafi laporan Bloomberg terhadap Azam Baki, sifatkan sebagai mengelirukan
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen