Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa DAP Melaka supaya mempertimbangkan semula keputusan keluar daripada kerajaan negeri dan memberi ruang kepada rundingan bagi mengekalkan kerjasama sedia ada.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memaklumkan beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook serta Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berhubung perkembangan tersebut.
Menurut Anwar, walaupun wujud beberapa perkara yang tidak dipersetujui, kepentingan rakyat dan pembangunan negeri perlu terus menjadi keutamaan.
“Saya tadi berbincang dengan Loke dan juga ketua menteri. Kalau boleh, runding dulu supaya tangguh sekejap, supaya kita boleh buat kerja dengan soal negeri.
“Saya ingin pilihan raya dulu sebaiknya. Walaupun ada dua tiga perkara tidak bersetuju, tidak mengapa,” katanya selepas menghadiri satu acara di Mukim Pasir Panjang hari ini.
Beliau berpandangan sebarang perbezaan pendapat antara parti dalam kerajaan boleh diselesaikan melalui perbincangan tanpa menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
Terdahulu, DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.
Pindaan itu membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif, langkah yang dibantah DAP kerana disifatkan tidak selari dengan prinsip tadbir urus yang diperjuangkan parti itu.
Seiring keputusan tersebut, Ketua DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mengumumkan semua wakil parti berkenaan dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk barisan Exco dan timbalan Exco, melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai kedudukan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH di Melaka, namun Anwar berharap semua pihak dapat memberi peluang kepada rundingan sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.
Beliau menegaskan keutamaan ketika ini ialah memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan pertumbuhan ekonomi Melaka.
Muhyiddin jangka kerjasama BN-PN sukar bertahan
PH yakin kekal kuasai DUN Pilah, namun enggan alpa
Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum
Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
PRN: Manifesto Bersatu untuk Negeri Sembilan, pertaruh 76 tawaran
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS