Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menggunakan pentas Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Tianjin untuk mengangkat isu keamanan antarabangsa, termasuk konflik berpanjangan di Myanmar dan Gaza.
Bercakap pada akhir lawatan empat hari beliau ke China, Perdana Menteri menjelaskan walaupun Malaysia bukan anggota SCO, kehadirannya atas jemputan Presiden China, Xi Jinping, memberi peluang kepada Malaysia menyuarakan pandangan mengenai isu serantau dan global.
“Saya mengadakan beberapa pertemuan ringkas dengan pemimpin dunia yang hadir bagi membincangkan beberapa perkara, termasuk cara menamatkan konflik dan mencapai keamanan di Myanmar, sebelum Menteri Luar (Mohamad Hasan) meneruskan perbincangan,” katanya.
Selain itu, Anwar turut bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi membincangkan hubungan dua hala, serta berinteraksi dengan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly, yang memberi maklumat terkini mengenai situasi di Gaza.
“Ramai pemimpin yang hadir turut membangkitkan isu penderitaan rakyat Palestin dan kekejaman berterusan di Gaza,” katanya.
Anwar turut bertemu Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; serta Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Beliau juga mengadakan perbincangan mendalam dengan Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang mengenai pembangunan infrastruktur, pelaburan, kecerdasan buatan (AI), pendidikan serta langkah mempererat kerjasama dua hala demi manfaat rakyat Malaysia.
Anwar turut hadir pada Perbarisan Hari Kemenangan China di Dataran Tiananmen, yang memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Menurutnya, sambutan itu bukan sekadar simbol kemenangan, tetapi juga peringatan bahawa kebebasan dan kedaulatan setiap negara mesti dihormati.
“Ini penting, khususnya dalam suasana ketidakpastian global ketika ini, dengan contoh paling buruk ialah Gaza, di mana rejim Zionis Israel terus bertindak sewenang-wenangnya. Perbarisan ini menunjukkan bagaimana China bangkit menewaskan penindasnya dan wajar dijadikan pengajaran kepada generasi muda,” katanya.
Mufti Wilayah ingatkan bahaya istilah ‘menunggang agama’
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum