Na’im Brundage.
Armada Bersatu Malaysia menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan segera mengenai status pendakwaan melibatkan bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, yang dikaitkan dengan kes sitaan wang tunai berjumlah RM169 juta.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada, Na’im Brundage berkata pihaknya memandang serius kelewatan keputusan walaupun laporan penuh siasatan telah diserahkan kepada AGC pada September 2025.
“Sehingga kini, selepas hampir sembilan bulan, masih tiada sebarang keputusan atau perkembangan mengenai tindakan pendakwaan dimaklumkan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kes tersebut bermula apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang berkenaan pada 20 Februari 2025.
Wang itu kemudiannya diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen untuk dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009.
Na’im menegaskan kelewatan dalam membuat keputusan terhadap siasatan yang telah lengkap boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem keadilan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan individu berprofil tinggi.
“Kelewatan ini berisiko menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti sistem perundangan serta keberkesanan sistem keadilan negara,” ujarnya.
Beliau turut menambah ketelusan dan ketegasan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dipelihara.
“Keputusan perlu dibuat segera dan dimaklumkan kepada rakyat supaya keyakinan terhadap institusi keadilan tidak terus terjejas,” katanya lagi.
Kes ini mendapat perhatian meluas kerana jumlah sitaan yang besar serta kedudukan individu yang terlibat, selain berlaku dalam suasana politik negara yang masih dipengaruhi persaingan antara parti seperti UMNO dan parti-parti lain dalam kerajaan serta pembangkang.
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
Puad diminta bertenang, Mat Maslan minta fokus bantu hadapi PRN Johor
PRN Johor: Bekas ADUN Bersatu calon BN di Endau, Onn Hafiz kekal di Machap
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar