Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu
Bersatu mendakwa Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung malam tadi berkemungkinan tidak sah kerana didakwa bercanggah dengan kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Naib Presidennya, Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu merujuk kepada surat RoS bertarikh 22 Jun lalu yang memaklumkan beberapa dokumen dikemukakan oleh Setiausaha Agung PN sebelum ini didapati tidak lengkap serta tidak ditandatangani.
Menurut beliau, susulan itu RoS meminta PN mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966 sebelum sebarang pertimbangan lanjut dibuat.
“RoS juga berhak menangguhkan pertimbangan terhadap penerimaan rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sehingga semua perkara berbangkit diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahmad Faizal berkata, wakil Bersatu telah membangkitkan perkara tersebut dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar PN dan berpendirian mesyuarat itu sepatutnya ditangguhkan sehingga segala isu yang dibangkitkan oleh RoS diselesaikan.
Bagaimanapun, katanya, mesyuarat berkenaan tetap diteruskan walaupun terdapat kebimbangan ia boleh bertentangan dengan kehendak RoS bagi memastikan urusan pentadbiran dan pengurusan gabungan itu mematuhi Perlembagaan PN, Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan berkaitan.
Semasa mesyuarat sama, wakil Bersatu turut membantah cadangan menerima Parti Cinta Malaysia (PCM) sebagai anggota baharu PN.
Menurut Ahmad Faizal, bantahan itu dibuat ketika gabungan berkenaan sedang berdepan cabaran dalaman susulan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu sebelum ini.
“Penerimaan parti baharu yang dipimpin bekas ahli Bersatu yang telah dipecat hanya akan menambah masalah dalaman PN,” katanya.
Beliau turut mendakwa permohonan PCM untuk menyertai PN tidak dibuat secara teratur kerana dikemukakan oleh Saifuddin Abdullah atas kapasiti Setiausaha Agung PCM, sedangkan semakan rasmi menunjukkan jawatan itu kini disandang oleh Yeo Kwee Kwang bagi sesi 2026-2027.
Selain itu, beliau mendakwa dokumen berkaitan turut menggunakan nama Parti Wawasan Negara walaupun permohonan dibuat atas nama PCM.
“Berdasarkan semakan kami setakat semalam, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan oleh RoS.
“Menggunakan nama parti yang tidak diluluskan oleh RoS adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, Bersatu kesal dengan tindakan Pengerusi PN yang didakwa mahu menerima keanggotaan PCM secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira implikasi undang-undang yang mungkin timbul.
Mengulas mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat, beliau berkata wakil Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin telah membentangkan kerusi-kerusi sasaran parti itu.
Menurutnya, Bersatu menegaskan calon-calon parti akan bertanding menggunakan logo PN dan pendirian tersebut telah dipersetujui oleh Pengerusi PN.
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Maszlee sedia berdebat, adakah Onn Hafiz akan sahut?
PRN Johor: Debat Maszlee dan Onn Hafiz, biar pengundi nilai siapa layak jadi MB?
Johor perlukan kerajaan negeri sehaluan Putrajaya: Amanah
Kerjasama dengan Putrajaya kunci kemajuan Johor: Anwar
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar