Asean 2045: Malaysia memimpin perubahan serantau

May 27, 2025 · Isu semasa

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang berlangsung di ibu negara Malaysia pada 26 hingga 27 Mei 2025 menyaksikan pemimpin-pemimpin serantau berkumpul dengan tekad memperkukuh kerjasama dan mencapai aspirasi Komuniti Asean 2045.

Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, seorang penganalisis politik, menekankan bahawa kejayaan misi ini memerlukan kesatuan dan aspirasi kolektif yang selari antara negara-negara anggota.

Dr. Mohammad Tawfik menyatakan bahawa tiada bantahan terbuka atau kritikan mengenai usaha mewujudkan Misi Komuniti Asean 2045, yang dapat dilihat apabila semua pemimpin negara anggota Asean, kecuali Ketua Kerajaan Myanmar, hadir ke Sidang Kemuncak di Kuala Lumpur 2025.

Beliau menegaskan bahawa kesatuan ini menunjukkan kesediaan pemimpin negara anggota untuk membincangkan isu Myanmar dengan serius.

Dr. Mohammad Tawfik yakin bahawa dengan kesungguhan ini, Asean dapat mengubah pandangan dunia dan pergerakan hala tuju baru yang lebih cemerlang seperti yang dihasratkan sebelum ini.

Sebagai Pengerusi Asean 2025, Malaysia memainkan peranan penting dalam memimpin usaha-usaha ini. Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memperkukuh kerjasama serantau dan menangani cabaran-cabaran geopolitik global. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan pentingnya Asean untuk bersatu dalam menghadapi isu-isu seperti perang saudara di Myanmar dan tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, Dr. Mohammad Tawfik menekankan bahawa Asean perlu mengutamakan kestabilan serantau dan pengukuhan nilai demokrasi. Contohnya, perhatian yang diberikan oleh Asean terhadap situasi di Myanmar menunjukkan komitmen organisasi ini dalam menangani isu-isu yang boleh menjejaskan kestabilan serantau.

“Pendekatan ini mencerminkan usaha Asean untuk memastikan rantau ini kekal aman dan stabil, selaras dengan matlamat Komuniti Asean 2045, “ katanya.

Dengan kesungguhan dan kerjasama erat antara negara-negara ASEAN, Dr. Mohammad Tawfik yakin bahawa Misi Komuniti Asean 2045 dapat direalisasikan. Malaysia, sebagai Pengerusi Asean 2025, mempunyai tanggungjawab besar dalam memimpin usaha-usaha ini dan memastikan visi bersama dapat direalisasikan melalui tindakan konkrit dan kerjasama yang berterusan.

Dalam pada itu, menurut Prof. Madya Dr. Nur Izzati Hassan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia memiliki kelebihan dari segi diplomasi yang pragmatik serta pengalaman menjadi tuan rumah kepada pelbagai sidang kemuncak antarabangsa.

Keupayaan ini membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai pemudah cara (honest broker) dalam menjembatani perbezaan pandangan antara negara anggota Asean, sekaligus mengukuhkan kesatuan dan hala tuju bersama.

Dalam konteks pembangunan berorientasikan rakyat yang menjadi teras kepada Visi 2045, Malaysia berada pada kedudukan yang strategik untuk menerajui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti serantau.

Usaha memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional, pengiktirafan kelayakan akademik secara rentas sempadan, serta pelaksanaan program mobiliti belia dan pelajar adalah antara komponen penting ke arah pembangunan masyarakat Asean yang seimbang dan kompetitif.

Pada masa yang sama, cabaran-cabaran kontemporari seperti perubahan iklim, keselamatan teknologi, risiko bencana dan ketegangan geopolitik memerlukan Asean membina keupayaan tindak balas yang lebih tangkas dan inovatif.

“Malaysia, melalui kerjasama serantau dalam bidang penyelidikan, sains dan inovasi, boleh menerajui usaha membentuk mekanisme serantau yang lebih berdaya tahan dan berasaskan data,” Dr Nur Izzati.

Institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan serta sektor industri di Malaysia juga mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin pembangunan penyelesaian teknologi yang bersifat rentas negara.

Sidang Kemuncak Asean ke-46 harus dimanfaatkan sebagai peluang strategik untuk menetapkan semula asas kerjasama serantau yang lebih kukuh, tersusun dan berpandangan jauh.

Dengan gabungan kepimpinan yang berwibawa, komitmen bersama dan visi yang menyeluruh, Asean bukan sahaja boleh mengukuhkan kedudukannya di rantau Asia Tenggara, malah mampu muncul sebagai kuasa serantau yang dihormati di peringkat global menjelang 2045.

Dalam konteks ini, Malaysia diyakini mampu memainkan peranan utama sebagai pemacu perubahan dan peneraju Asean ke arah masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

Berita berkaitan
Kerajaan perangi judi haram secara lebih agresif: PMX
5 jam lalu· Isu semasa
Kedudukan CPI Malaysia meningkat, usaha lawan rasuah tunjuk hasil: Anwar
15 jam lalu· Isu semasa
Anwar minta kerajaan negeri patuh keputusan berhubung isu rumah ibadat tak sah
February 10, 2026· Isu semasa
Himpunan rumah ibadat cetus kontroversi, AMK Johor pertahan Anwar
February 9, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Dewan Rakyat diberitahu lebih 21,000 remaja hamil luar nikah sejak 2019
5 jam lalu · Isu semasa
Pembinaan rumah ibadat perlu mengikut lunas perundangan, titah Agong
5 jam lalu · Isu semasa
Majoriti pengguna RON95 guna bawah 200 liter sebulan: Anwar
5 jam lalu · Isu semasa
MCMC berjaya tumpaskan sindiket Stesen Pangkalan Palsu di Johor
15 jam lalu · Isu semasa
SPRM nafi laporan Bloomberg terhadap Azam Baki, sifatkan sebagai mengelirukan
23 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
January 28, 2026
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen
January 28, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok