
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Negara-negara ASEAN bakal menyelaraskan usaha bagi menangani cabaran media sosial secara kolektif pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata penyelarasan tersebut akan dimeterai menerusi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab, yang dijangka menjadi salah satu dokumen utama pada sidang kemuncak tersebut nanti.
“Penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur ini adalah hasil daripada perbincangan dalam kalangan menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas penerangan pada bulan Mei lalu di Bandar Seri Begawan,” kata katanya kepada pemberita selepas ASEAN Friendship Concert 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media malam tadi.
Beliau juga memaklumkan terdapat persetujuan sebulat suara dalam kalangan menteri komunikasi ASEAN mengenai keperluan untuk mempunyai satu strategi dan tindakan bersama.
“Kita perlu bersatu hati wujudkan perundangan yang seumpama atau serupa dan mengambil beberapa tindakan segera,” ujarnya.
Fahmi turut mengakui walaupun negara ASEAN berbeza dari segi saiz dan peranan, termasuk ada yang menjadi pusat operasi syarikat media sosial gergasi, semua masih terdedah kepada isu keselamatan dalam talian.
“Kita semua terkesan sekiranya berlaku masalah dalam media sosial seperti scam dan judi dalam talian,” tegasnya.
Mengenai persediaan bagi sidang kemuncak tersebut, beliau menyatakan tahap kesiapsiagaan telah mencecah 85 hingga 90 peratus dan dijangka sempurna menjelang pembukaan rasmi.
Antara persiapan termasuk pemasangan kemudahan 5G dan peningkatan jalur lebar untuk memastikan liputan media yang lancar.
Sementara itu, Fahmi melahirkan rasa bangga dengan kejayaan ASEAN Friendship Concert 2025 yang bukan sahaja menampilkan bakat dari sepuluh negara ASEAN, malah turut diiringi oleh Timor-Leste.
“Ini peluang yang baik untuk kita sama-sama mendengar dan menyaksikan bakat-bakat muda dari rantau Asia Tenggara,” katanya lagi.