Asia perlu pimpin tertib ekonomi global baharu: Anwar

September 1, 2025 · Isu semasa

Anwar Ibrahim menegaskan Asia perlu memainkan peranan utama dalam membentuk tertib ekonomi global baharu dengan menulis agenda sendiri serta menentukan hala tuju masa depan.

Semasa ucaptama di Universiti Tianjin, Perdana Menteri menekankan bahawa negara-negara Asia perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan lembaran seterusnya ekonomi dunia turut dicorakkan oleh kepentingan dan nilai Asia.

Beliau berkata landskap ekonomi global yang kini dilanda gangguan berterusan, kebimbangan, dan polarisasi sepatutnya dijadikan peluang untuk mengukuhkan kerjasama antara negara.

“Asia adalah enjin pertumbuhan global, rumah kepada majoriti belia dunia, dan pusat kepada teknologi yang paling dinamik. Kita bukan objek dalam strategi pihak lain, tetapi penentu kepada takdir sendiri,” tegasnya.

Anwar berkata, pelbagai penyusunan semula ekonomi global oleh Barat sebelum ini menunjukkan bahawa masa depan perlu ditulis dengan ‘dakwat Asia’.

Beliau memberi contoh seperti penubuhan sistem monetari antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua, pengakhiran piawaian emas pada 1971, dan langkah Amerika Syarikat melaksanakan tarif timbal balik baru-baru ini.

“Setiap penyusunan semula ini ditulis jauh dari ‘pantai’ kami. Asia hadir, tetapi bukan pengarangnya. Hari ini, kami mesti memastikan bab seterusnya ditulis dengan bahasa dan dakwat Asia,” ujarnya.

Anwar juga merujuk kepada amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menjangkakan kerugian pendapatan sehingga 12 peratus bagi sesetengah negara akibat pemecahan perdagangan dan penyahgandingan teknologi.

Sebagai penyelesaian, Anwar mencadangkan konsep ‘kesalingbergantungan berdaulat’ (sovereign interdependence) yang membolehkan negara mengekalkan kedaulatan sambil terbuka kepada perdagangan, pelaburan, bakat, dan teknologi.

Beliau mengambil contoh Laksamana Zheng He dari China yang membawa semangat pertukaran dan bukannya penaklukan ketika melawat Melaka suatu ketika dahulu.

“Kita perlu merangka kesalingbergantungan yang mengukuhkan kedaulatan, bukan melemahkannya. Saling bergantung tidak sepatutnya menimbulkan kebimbangan terhadap autonomi, tetapi memberi keyakinan terhadap daya tahan negara,” jelasnya.

Anwar menyeru China, sebagai kuasa tamadun, untuk memimpin ke arah keterbukaan, kestabilan, dan inklusiviti rantau Asia.

Malaysia pula, katanya, sedia membuat sumbangan dengan menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk berdaulat tanpa curiga dan terbuka tanpa naif.

Lawatan beliau ke Universiti Tianjin turut diserikan dengan sesi soal jawab bersama pelajar. Universiti tersebut merupakan antara institusi pengajian tinggi tertua di China dan menjadi tuan rumah kepada ramai pelajar Malaysia, termasuk yang mengikuti program dwi-ijazah dengan Universiti Malaysia Pahang.

Anwar kini berada dalam lawatan kerja selama empat hari ke China, merupakan lawatan keempat beliau sejak tahun 2023.

Berita berkaitan
Majoriti perwakilan DAP sokong kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal
8 jam lalu· Politik
Akta Tabung Haji akan dipinda, amanah umat Islam jadi keutamaan
9 jam lalu· Politik
AUKU mansuh, Anwar mahu mahasiswa bebas bersuara
15 jam lalu· Isu semasa
Hubungan dengan Zahid masih baik, Anwar pilih kestabilan pertahan Kerajaan Perpaduan
15 jam lalu· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Ulama tampil bincang RCI Tabung Haji, gesa amanah pendeposit dibela
9 jam lalu · Isu semasa
1,098 Pusat NADI sasar pecah rekod MBOR dalam program Senam Sihat MADANI
14 jam lalu · Isu semasa
Doktor terpedaya pelaburan online, rugi RM558,000
17 jam lalu · Isu semasa
Anak nafi dakwaan tular Abdul Azeez ditahan SPRM
17 jam lalu · Isu semasa
Karnival Internet Selamat himpunkan lebih 500 penduduk Kalabakan
August 15, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
8 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok