Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU)
Anwar Ibrahim menegaskan undang-undang baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak boleh mengandungi sebarang elemen yang mengongkong atau menyekat kebebasan mahasiswa.
Perdana Menteri berkata, sebarang draf undang-undang yang mempunyai unsur sedemikian akan ditolak ketika dibawa ke Kabinet.
“Saya tak mahu pindaan. AUKU wajib dimansuhkan sepenuhnya. Ada kebimbangan, kadang-kadang dibatalkan AUKU, diperkenalkan undang-undang baharu yang juga mengongkong dan menyekat. Saya tidak akan benarkan mana-mana peraturan itu semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.
Menurutnya, pemansuhan AUKU bukan bermaksud mahasiswa diberikan kebebasan tanpa batas, terutama jika melakukan kesalahan jenayah atau pelanggaran undang-undang.
“Kalau dia pukul orang, ada menyebabkan kecederaan, kalau dia menipu dalam peperiksaan, itu boleh diambil tindakan menerusi undang-undang sedia ada. Saya tidak bermaksud untuk melonggarkan,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan tidak wajar diwujudkan undang-undang khas yang menyekat kegiatan mahasiswa seperti pendekatan dalam AUKU sebelum ini.
“Saya akan peringatkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini, saya tidak bersetuju apa-apa pindaan atau akta gantian yang mengongkong dan mengekang kegiatan mahasiswa,” katanya.
Anwar turut mengaitkan sejarah AUKU dengan pengalaman beliau ketika menjadi pemimpin mahasiswa, termasuk ketika kebebasan aktivisme mahasiswa lebih terbatas.
“Undang-undang itu dibuat untuk menghalang kebebasan Anwar, jadi saya sudah kemukakan beberapa pindaan masa saya Timbalan Perdana Menteri. Ada sedikit pindaan,” katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan keputusan untuk memansuhkan AUKU dan cadangan itu akan dibawa ke Kabinet Rabu ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir sebelum ini memaklumkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh bagi menggantikan AUKU sudah digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Usaha itu sebahagian daripada agenda pembentukan One Higher Education Act yang dilancarkan pada Januari lalu.
AUKU diperkenalkan pada 1971 dan sudah melalui tujuh siri pindaan. Antara perubahan penting termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.
Pindaan pada 2024 pula mengubah mekanisme tindakan tatatertib pelajar universiti awam, dengan kuasa membuat keputusan diberikan kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.
Saifuddin: Polis buka kertas siasatan, dakwaan Ismail dipaksa jadi perhatian
DKU: Tuanku Muhriz kekal bertakhta, proklamasi penurunan tak sah
FGV lantik firma audit bebas, semak isu tadbir urus
Saifuddin mahu elaun RELA RM8 disemak segera
Lawatan sulung PMX ke Maldives beri momentum baharu hubungan dua hala: Bernama
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum