Aziz Bari: Siapa halang KJ masuk bertanding PRN Negeri Sembilan?

July 20, 2026 · Politik

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi UMNO, Khairy Jamaluddin dilihat berada dalam kedudukan paling sesuai untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, namun persoalan timbul sama ada ada pihak tertentu dalam parti yang menghalangnya daripada dicalonkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari berkata, Khairy tidak berdepan sebarang konflik sebagai anggota Kabinet seperti beberapa pemimpin UMNO lain, sekali gus menjadikannya calon yang lebih bebas untuk berkempen.

“Saya tertanya-tanya kenapa Khairy tidak dipilih. Adakah ada pihak tertentu dalam UMNO yang menghalangnya daripada bertanding?” katanya.

Menurut Aziz, keadaan itu berbeza dengan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang kini berdepan dilema selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengingatkan anggota pentadbiran kerajaan supaya tidak menyerang Kerajaan Persekutuan ketika berkempen dalam PRN.

Katanya, Mohamad yang juga Menteri Luar kini berada dalam situasi sukar kerana perlu memilih antara mematuhi prinsip tanggungjawab bersama Kabinet atau memainkan peranan sebagai calon pilihan raya.

“Selepas kenyataan Perdana Menteri, kedudukan Mat Hasan sebagai calon PRN menjadi janggal. Dia perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Aziz menjelaskan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan prinsip tanggungjawab bersama Kabinet, sekali gus mengikat semua menteri untuk mempertahankan dasar kerajaan yang dipersetujui.

Sebelum ini, Anwar mengingatkan semua menteri, timbalan menteri dan ketua agensi yang bertanding dalam PRN supaya menumpukan kempen kepada isu negeri.

Jika memilih untuk menyerang Kerajaan Persekutuan, mereka sewajarnya melepaskan jawatan dalam pentadbiran.

Mohamad kemudian membalas kenyataan itu dengan menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan sekiranya diperlukan, sambil menegaskan musim pilihan raya tidak sepatutnya menjadikan parti lawan sebagai musuh peribadi.

Bagaimanapun, Aziz berkata Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berada dalam kedudukan lebih selesa kerana tidak bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.

Katanya, Zahid juga lebih berhati-hati dalam kenyataannya berbanding Mohamad yang dilihat lebih lantang ketika berkempen.

Beliau turut merujuk kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin yang mengingatkan pelantikan menteri adalah hak Perdana Menteri dan sesiapa yang tidak lagi mendapat kepercayaan tidak sepatutnya terus memegang jawatan.

“Sebagai ahli politik berpengalaman, mereka sepatutnya memahami implikasi keputusan yang dibuat. Sukar untuk mengelakkan serangan terhadap Kerajaan Persekutuan jika pada masa sama mahu mempromosikan kerjasama UMNO dan PAS,” katanya.

Khairy sebelum ini disebut-sebut antara tokoh yang berpotensi menjadi wajah utama BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan susulan pengaruhnya di negeri itu.

Namun, namanya tidak tersenarai sebagai calon, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai faktor sebenar beliau diketepikan.

Berita berkaitan
Majoriti perwakilan DAP sokong kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal
9 jam lalu· Politik
DAP pilih kestabilan, hormati keputusan Anwar kekalkan BN
9 jam lalu· Politik
Hubungan dengan Zahid masih baik, Anwar pilih kestabilan pertahan Kerajaan Perpaduan
15 jam lalu· Politik
14 pembahas sokong DAP terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan
17 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Fahmi: Jangan berhenti, perjuangan rakyat mesti diteruskan
8 jam lalu · Politik
Akta Tabung Haji akan dipinda, amanah umat Islam jadi keutamaan
9 jam lalu · Politik
Kemiskinan, dadah ancaman sebenar orang Melayu: Saifuddin Nasution
17 jam lalu · Politik
RM2.58 bilion rugi, Syed Saddiq persoal pelaburan TH sampai ‘naik darah’
17 jam lalu · Politik
Aminuddin ambil tanggungjawab, sedia berundur
17 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
8 jam lalu
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok