Ketua Pembangkang Selangor, Azmin memberi kata-kata semangat kepada Menteri Besar, Amiruddin.
Ketika spekulasi mengenai kemungkinan jajaran politik baharu semakin hangat, Ketua Pembangkang Selangor, Mohamed Azmin Ali tampil menitipkan pesanan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari supaya tidak gundah gulana dan terus fokus kepada pentadbiran negeri.
Pesanan itu disampaikan Azmin ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
“Wahai adinda Menteri Besar, jangan gundah gulana,” katanya.
Azmin turut memberi isyarat sokongan kepada Amirudin untuk meneruskan agenda pembangunan Selangor, malah menyifatkan Menteri Besar itu tidak berseorangan dalam menghadapi perkembangan politik semasa.
“Anda tidak berseorangan. I am always here for Selangor!” katanya.
Kenyataan itu menarik perhatian ketika landskap politik negara kembali hangat dengan spekulasi mengenai kemungkinan penjajaran baharu antara parti politik, termasuk perkembangan membabitkan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).
Namun, Azmin dalam ucapannya tidak mengaitkan secara langsung pesanan itu dengan sebarang rundingan politik.
Sebaliknya, beliau mengingatkan supaya pembangunan Selangor tidak terjejas akibat percaturan politik dan kepentingan kelompok tertentu.
Menurutnya, kekuatan Selangor perlu dibina atas asas penyatuan yang membawa kemajuan serta kesejahteraan kepada rakyat, bukan perpecahan atas nama politik atau kaum.
Azmin turut mengkritik pihak yang menggunakan slogan penyatuan Melayu untuk mempertahankan salah laku dan kegagalan tadbir urus.
“Keadaan politik bertambah gila apabila ada pula kumpulan yang menghalalkan kleptokrasi, mengiyakan kebobrokan dengan fatwa baharu. Ini adalah proses memperbodohkan rakyat.
“Atas nama penyatuan Melayu kononnya, Melayu kini berpecah. Apabila Melayu berpecah, mereka salahkan kaum lain untuk menutup kepalsuan sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, Azmin mahu pertumbuhan ekonomi Selangor, terutama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terus dipertingkat supaya manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat di seluruh negeri.
Beliau berkata limpahan ekonomi tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan seperti Petaling Jaya dan Subang, sebaliknya turut dinikmati penduduk di Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.
“Komunikasi yang betul dan tepat penting untuk rakyat memahami dan menerima baik dasar Kerajaan Negeri. Tingkatkan penerangan dan Unit Media Kerajaan Negeri.
“Saya bersedia untuk menyampaikan fakta ekonomi yang tepat kepada rakyat dalam memastikan kejayaan kita membina Negeri Selangor yang maju dan makmur,” katanya.
Ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor selepas persidangan, Azmin enggan mengesahkan sama ada kenyataannya itu mempunyai kaitan dengan spekulasi jajaran politik Bersatu-PH.
“Saya tidak sebut pun apa-apa, cuma dia adinda sebab dia muda daripada saya.
“Lihat gembira sahaja. Saya sentiasa happy dan kekal tenang,” katanya.
Perkembangan politik di Selangor menjadi perhatian susulan kedudukan kerajaan negeri yang diterajui PH bersama Barisan Nasional (BN), manakala Azmin pula mengetuai blok pembangkang di DUN Selangor.
Mahfuz: Kalau mahu bela pendeposit TH, pembangkang patut duduk dan bahas
Syed Saddiq bidas pembangkang boikot keluar dewan, ini amanah pendeposit TH
Muhyiddin: Jangan lantik orang politik pimpin Tabung Haji
CEO TH dalam lembaga 1MDB ketika beli tanah TRX, Parlimen diberitahu kerugian RM145.3 juta
Keluar Dewan: Pembangkang PN tak peduli amanah pendeposit Tabung Haji?
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan