Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong gagal dalam usahanya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini mengekalkan sabitan bersalah serta hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan terhadapnya dalam kes rogol pembantu rumah.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang sebulat suara menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran semakan.
Dengan keputusan tersebut, Yong akan terus menjalani hukuman penjara seperti diputuskan sebelum ini.
Dalam permohonannya, Yong memfailkan notis usul mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi mengetepikan keputusan terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.
Pihak pembelaan dan pendakwaan masing-masing diwakili peguam dalam prosiding berkenaan.
Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Paul dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Dalam penghakiman terdahulu, mahkamah menyatakan sabitan terhadapnya adalah selamat serta hukuman yang dijatuhkan adalah sesuai.
Mahkamah turut menegaskan kejadian rogol berlaku tanpa persetujuan mangsa dan kesalahan itu berjaya dibuktikan tanpa keraguan munasabah.
Mahkamah juga memutuskan ketiadaan bukti DNA pada mop yang ditemui di lokasi kejadian tidak menjejaskan kes pendakwaan kerana bukti DNA hanya bersifat sokongan.
Yong sebelum ini disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Julai 2022 kerana merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di kediamannya pada 7 Julai 2019.
Mahkamah Tinggi pada awalnya menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan.
Namun, pada Mac 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah melalui keputusan majoriti 2-1 tetapi mengurangkan tempoh penjara kepada lapan tahun dengan dua sebatan.
Perbicaraan kes itu bermula pada April 2021 dengan seramai 23 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk dua saksi terlindung.
Muktamad! Tiada kerjasama dengan PAS walaupun putus dengan Bersatu: Zahid
UMNO jangan ulang formula lama kerjasama dengan PAS: Mahfuz
Bersatu tetap teguh walau ditinggalkan PAS: Azmin
Amanah sasar bertanding 20 kerusi pada PRN Johor
Perpisahan PAS-Bersatu sudah dijangka apabila tiada keikhlasan: Zahid
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi