Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail.
UMNO membuka pintu kepada bekas pemimpin Bersatu yang mahu menyertai semula parti itu menerusi gagasan Rumah Bangsa, ketika landskap politik Melayu terus mengalami perubahan selepas beberapa tindakan disiplin diambil terhadap pemimpin parti lawan itu.
Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemasukan bekas pemimpin Bersatu mampu memberi kekuatan baharu kepada perjuangan UMNO kerana mereka masih mempunyai pengaruh dan sokongan akar umbi.
“Kehadiran bekas pimpinan Bersatu yang mahu kembali ini kita alu-alukan. Mereka ada pengikut dan pengaruh, jadi sudah tentu penyertaan mereka akan memberi impak positif kepada Rumah Bangsa,” katanya dipetik laporan media.
Beliau mengulas perkembangan terbaharu dalam Bersatu selepas beberapa wakil rakyat dan pemimpin parti itu dipecat serta digantung keahlian kerana didakwa melanggar perlembagaan parti.
Rumah Bangsa diperkenalkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebagai platform penyatuan orang Melayu dan bagi menerima semula bekas ahli UMNO atau individu yang mahu kembali bersama parti itu.
Setakat ini, lebih 10,000 permohonan dilaporkan diterima.
Menurut Wan Rosdy, situasi semasa menunjukkan sebahagian orang Melayu yang pernah meninggalkan UMNO kini mula melihat semula peranan parti itu dalam kerajaan, khususnya sebagai suara yang mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahmad Maslan mengesahkan terdapat beberapa bekas pemimpin Bersatu yang sudah mula “merisik” untuk menyertai Rumah Bangsa.
Namun katanya, hasrat itu berdepan kekangan Akta Anti Lompat Parti yang berkuat kuasa sejak Oktober 2022.
“Yang merisik memang ada, tetapi ada kekangan dari sudut undang-undang. Rumah Bangsa ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu bersama demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Abdul Fattah Abdullah turut mengajak bekas pemimpin UMNO termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kembali bersama parti itu.
Katanya, semua pihak perlu mengenepikan perbezaan lama demi masa depan orang Melayu.
“Kalau pernah tersasar sebelum ini, bolehlah pulang ke pangkal jalan. Matlamatnya tetap sama, cuma pendekatan yang berbeza,” katanya.
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
Anwar gesa semua parti patuhi etika kempen PRN Johor, Negeri Sembilan
PAS bakal umum kerjasama dengan Hamzah selepas ‘ceraikan’ Bersatu
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi