Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kerajaan belum memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan diadakan tahun ini, kata Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ini lebih menumpukan kepada usaha menyelesaikan isu rakyat termasuk melibatkan penjaja, peniaga kecil dan golongan yang memerlukan bantuan segera susulan tekanan kos sara hidup serta cabaran ekonomi semasa.
“Perdana Menteri belum memberi apa-apa petunjuk bahawa PRU-16 akan berlangsung pada tahun ini. Fokus kerajaan sekarang ialah memastikan masalah rakyat biasa dapat disantuni dan diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang SPM dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 di Dewan Merbau, IWK Ecopark, hari ini.
Kenyataan itu hadir ketika spekulasi mengenai kemungkinan PRU-16 diadakan lebih awal terus diperkatakan susulan perkembangan politik semasa dan beberapa siri pilihan raya negeri sebelum ini.
Bagaimanapun, Fahmi mengingatkan pimpinan serta jentera Pakatan Harapan (PH) supaya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, persiapan awal penting bagi memastikan gerak kerja parti berjalan lancar dan tersusun.
“Kita tahu Johor mungkin akan ada pilihan raya walaupun mungkin bukan sekarang, tetapi tidak mustahil dalam masa yang tidak terlalu lama. Jadi, kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Johor sebelum ini menjadi antara negeri tumpuan politik negara selepas Barisan Nasional memperoleh kemenangan besar pada PRN 2022, sekali gus menjadikan negeri itu medan penting bagi parti-parti politik mengukur sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.
Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan Konvensyen PH Peringkat Kebangsaan akan berlangsung di Johor pada 17 Mei ini dengan penyertaan lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara.
Katanya, konvensyen berkenaan akan menjadi platform bagi pimpinan utama gabungan itu menjelaskan hala tuju parti serta menyusun strategi menghadapi cabaran politik akan datang.
Lebih 10 wakil rakyat pembangkang berminat sertai ‘Rumah Bangsa’ UMNO
Keputusan kes Zahid ditangguh Jun ini
Saksi SPRM beritahu siasatan awal tidak cukup bukti dakwa Guan Eng
Bekas pemimpin Bersatu dipelawa sertai semula UMNO: Wan Rosdy
Najib dapat tangguh bayar ganti rugi SRC
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil