Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid untuk membantu ibu bapa membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan 2027.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata peningkatan itu akan memberi manfaat kepada 5.3 juta murid di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1 bilion.
“Hal ini bermakna, keluarga dengan empat orang anak akan menerima RM800 untuk persiapan bagi sesi persekolahan 2027,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, bantuan berkenaan akan disalurkan melalui sekolah bagi membolehkan ibu bapa hadir dan bertemu guru, sekali gus memperkukuh kerjasama antara keluarga dengan pihak sekolah dalam memastikan kemajuan akademik serta pembentukan sahsiah anak-anak.
Langkah itu dijangka membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga, khususnya bagi pembelian pakaian seragam, kasut, beg sekolah dan kelengkapan pembelajaran menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Selain bantuan persekolahan, kerajaan turut bersetuju memberikan elaun sara hidup RM2,500 kepada pelajar Tingkatan Enam, menyamai kadar elaun yang diterima pelajar matrikulasi.
Anwar berkata inisiatif itu bakal memanfaatkan kira-kira 90,000 pelajar Tingkatan Enam.
Bagi memastikan murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat akses kepada makanan berkhasiat di sekolah, kerajaan turut menyediakan RM870 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT), yang akan memanfaatkan lebih 800,000 murid.
Dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan, kerajaan juga akan memperluas pengambilan Pembantu Guru kepada 200 sekolah rendah yang mempunyai kepadatan murid tinggi.
Anwar berkata langkah itu bertujuan membolehkan guru memberikan tumpuan kepada tugas utama mereka, iaitu mendidik murid, tanpa terlalu dibebani urusan perkeranian.
“Pengambilan ini akan ditambah secara berfasa setelah penilaian keberkesanan dilaksanakan,” katanya.
Peningkatan bantuan persekolahan, elaun pelajar dan peruntukan makanan tambahan mencerminkan usaha kerajaan menangani kos pendidikan serta memperluas sokongan kepada murid, pelajar dan tenaga pengajar menerusi Belanjawan 2027.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum