Pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 yang menjadi asas kepada Belanjawan 2027 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
RUU berkenaan dibentangkan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, selepas sesi soal jawab lisan selesai.
Amir Hamzah berkata, bacaan kali kedua RUU Perbekalan 2027 akan berlangsung Jumaat ini pada jam 3.30 petang, sekali gus membuka ruang kepada perbahasan lebih terperinci mengenai hala tuju kewangan negara bagi tahun depan.
“RUU Perbekalan 2027 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Jumaat ini, jam 3.30 petang,” katanya di Dewan Rakyat.
Perbahasan Belanjawan 2027 bagi peringkat dasar dijadual berlangsung selama lapan hari, bermula 12 hingga 22 Oktober ini.
Ia kemudian disusuli sesi jawapan oleh menteri antara 26 hingga 29 Oktober, sebelum perbahasan di peringkat jawatankuasa berlangsung selama 14 hari, dari 2 hingga 26 November.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim. Ia merupakan belanjawan kelima di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI sejak 2022 dan yang kedua dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pembentangan kali ini dijangka menjadi antara tumpuan utama persidangan Parlimen kerana kerajaan perlu mengimbangi tekanan kos sara hidup rakyat dengan keperluan memperkukuh kedudukan ekonomi negara dalam tempoh sederhana dan panjang.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan perancangan Belanjawan 2027 mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada kesan krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup, di samping menyediakan asas untuk membangunkan ekonomi yang lebih kompleks serta mempunyai nilai tambah tinggi.
Kerajaan juga dijangka meneruskan fokus kepada tiga tonggak utama Ekonomi MADANI, iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai kesejahteraan rakyat serta memperkukuh pembaharuan tatakelola pentadbiran.
Antara bidang yang diberi perhatian termasuk pertumbuhan berasaskan produktiviti dan daya cipta, peralihan tenaga, keterjaminan makanan, pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI).
Pembangunan bakat berkemahiran tinggi turut menjadi keutamaan bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Dengan Belanjawan 2027 menjadi belanjawan kedua di bawah RMK13, perhatian kini terarah kepada langkah kerajaan dalam menangani tekanan kos hidup sambil memastikan agenda reformasi ekonomi dan pembangunan negara terus bergerak.
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
Kapal bawa ketamin RM785 juta milik syarikat Malaysia: Polis
23 kawasan catat IPU tidak sihat, Seremban tertinggi setakat 4 petang
Jangan serah keselamatan digital anak kepada platform semata-mata
Dana Inovasi Media: Fahmi mahu AI bantu wartawan, bukan ganti mereka
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum