Prof Dr Rusdi Omar.
Belanjawan MADANI 2027 dengan kekuatan keseluruhan RM510 bilion disifatkan sebagai belanjawan yang berani mengimbangi kebajikan rakyat, peningkatan pendapatan dan pembaharuan struktur ekonomi negara.
Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar berkata, belanjawan kelima Kerajaan MADANI itu memperlihatkan pendekatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, untuk membantu rakyat tanpa mengabaikan disiplin fiskal.
Menurutnya, kekuatan belanjawan itu bukan sekadar terletak pada jumlah peruntukan yang meningkat daripada RM470 bilion sebelum ini, sebaliknya pada usaha menggerakkan pertumbuhan ekonomi sambil mengurangkan defisit negara.
“Belanjawan 2027 wajar disebut sebagai ‘Belanjawan Bertaring’. Taringnya bukan pada retorik, tetapi pada keberanian kerajaan menggabungkan peningkatan bantuan rakyat, kenaikan gaji, rangsangan pelaburan dan penurunan defisit fiskal,” katanya dalam ulasan mengenai belanjawan berkenaan.

Daripada keseluruhan RM510 bilion, sebanyak RM376.8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus Persekutuan, manakala RM83 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Baki pembiayaan ekonomi digerakkan melalui pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kerjasama awam-swasta dan entiti berkaitan kerajaan.
Rusdi berkata, sasaran mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.3 peratus pada 2027, sebelum mencapai tiga peratus pada 2028, menunjukkan usaha kerajaan mengukuhkan kedudukan kewangan negara.
Pada masa sama, lebih RM80 bilion diperuntukkan bagi subsidi, bantuan dan insentif untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut meningkat kepada RM16 bilion, dengan peluasan bantuan kepada kumpulan berpendapatan sederhana dan golongan yang memerlukan.
Belanjawan itu juga memberi perhatian kepada isu pendapatan melalui cadangan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, yang dijangka melibatkan lebih empat juta pekerja. Gaji minimum RM2,500 turut diperkenalkan sebagai permulaan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.
Menurut Rusdi, Malaysia tidak boleh terus bergantung pada model ekonomi berasaskan buruh murah jika mahu bersaing dalam industri bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan, aeroangkasa dan teknologi digital.
“Malaysia tidak boleh selama-lamanya cuba menjadi ekonomi maju dengan model gaji murah. Kita memerlukan pelaburan yang mencipta teknologi, kepakaran, vendor tempatan, pekerjaan mahir dan gaji tinggi,” katanya.
Bagi merancakkan pelaburan, GLIC menerusi Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-Up) menggembleng RM25 bilion pelaburan domestik.
Selain itu, RM1.2 bilion disediakan untuk membantu syarikat semikonduktor tempatan, manakala RM2.1 bilion disalurkan bagi menyokong sektor elektrik dan elektronik, digital, aeroangkasa serta peranti perubatan.
Kerajaan turut memperuntukkan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain RM3 bilion melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) untuk menyediakan tiga juta peluang latihan kemahiran.
Rusdi berkata, pelaburan dalam pembangunan bakat tempatan penting bagi memastikan rakyat mampu mengisi pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan melalui kemasukan pelaburan baharu.
Secara keseluruhan, beliau berpandangan Belanjawan 2027 menandakan peralihan daripada fasa pemulihan keyakinan dan pembetulan fiskal kepada usaha menterjemahkan reformasi ekonomi kepada peningkatan pendapatan serta peluang pekerjaan.
“Belanjawan populis hanya memberi. Belanjawan bertaring memberi, membetulkan dan membina pada masa yang sama,” katanya.
Lebih 400,000 peminjam PTPTN boleh tangguh bayaran
Bekas pengetua rugi RM1.1 juta ditipu pelaburan palsu
Raja Jordan lawat Malaysia dua hari mulai Ahad
Gangguan penerbangan di Arab Saudi, warga Malaysia diminta berwaspada
Jerebu: 15 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum