Landskap politik Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan bercelaru susulan pembentukan kerjasama yang tidak selari dengan kedudukan parti di peringkat Persekutuan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhyiddin Yassin mendakwa situasi itu menyebabkan rakyat sukar memahami hala tuju parti-parti yang bertanding, sekali gus membuka ruang kepada Bersatu untuk menawarkan pilihan politik yang lebih jelas kepada pengundi.
Menurut Muhyiddin, tindakan Barisan Nasional (BN) menjalinkan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, walaupun bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan menjadikan percaturan politik pada PRN kali ini sukar difahami.
“Ia sudah menjadi satu percaturan pelik kerana bertanding sesama sendiri. Bersatu ini tak apalah sebab hak kita dinafikan. Sejarah PAS dengan UMNO ini sudah lama. Kalau ikut rekod, dia kahwin cerai, bergaduh ke sana ke mari. Macam yang berlaku di Johor. Sebab itu, kami tidak boleh teruskan dengan PN kerana mereka haru-biru.
“Macam Wawasan (Parti Wawasan Negara) pula ialah pengkhianat yang melakukan banyak kesalahan dan pemimpinnya dikenakan tindakan dalam Bersatu.
“Jadi, BN-PN ialah gabungan pelik. PH pula, dalam Kerajaan Persekutuan bersama dengan BN tetapi bergerak asing di Negeri Sembilan,” katanya lapor Berita Harian.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan PH bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN meletakkan calon di 25 kerusi dan PN di 11 kerusi.
Bersatu pula bertanding secara solo di 24 kerusi, termasuk beberapa kawasan yang menyaksikan pertembungan dengan parti dalam gabungan PN.
Muhyiddin turut berpandangan persefahaman antara BN dan PN hanya bersifat sementara dan tidak mampu bertahan dalam jangka panjang kerana dibentuk atas kepentingan politik semasa.
“Mana hala tuju? Kalau Bersatu jelas. Kalau di sebelah sana, nanti dapat apa yang mereka hendak. Selepas itu, entah apa mereka lakukan. Sekarang pun sudah berbunyi sehingga Perdana Menteri memberi amaran minta menteri Kabinet letak jawatan jika mengkritik Kerajaan Perpaduan dalam kempen PRN.
“Ada juga kenyataan daripada pemimpin dalam BN mengatakan mereka sudah bersedia untuk membentuk kerajaan dan sebagainya.
“Jadi, kalau ikut bahasa mudahnya sudah haru-biru. Jadi, rakyat di bawah itu keliru.
“Apabila keliru, mereka tak tahu hendak buat keputusan bagaimana. Dalam situasi yang ada di Negeri Sembilan itu, gabungannya bercelaru. Sebab itu, kita masuk untuk memberi pilihan yang jelas,” katanya.
Mengulas dakwaan Bersatu sekadar menjadi ‘kacau daun’ dalam pilihan raya itu, Muhyiddin menegaskan parti berkenaan mempunyai pengalaman luas mentadbir negara dan negeri menerusi barisan kepimpinannya.
“Bukan kita datang main-main untuk orang kata kacau daun. Ini bukan soal kacau daun. Apa kami tidak boleh tadbir Negeri Sembilan? Bukanlah mustahil sangat begitu. Antara tokoh dalam Bersatu ada yang pengalaman mentadbir negeri,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan Bersatu berupaya membentuk kerajaan negeri sekiranya mendapat mandat rakyat berdasarkan pengalaman pentadbiran yang dimiliki pemimpin parti itu.
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
Aminuddin dakwa manifesto BN tiru tawaran PH, salin dan tukar sahaja
BN-PN tak tergesa-gesa bentuk gabungan, UMNO berhati-hati dengan PAS
Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS