Mohd Shafiq Iqram Abdullah
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan sama ada kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) benar-benar berteraskan kepentingan rakyat atau sekadar memberi manfaat kepada pihak tertentu.
Exco AMK, Mohd Shafiq Iqram Abdullah berkata, rakyat berhak mendapatkan penjelasan mengenai asas dan hala tuju kerjasama berkenaan, terutama jika ia membabitkan percaturan politik menjelang pilihan raya.
Menurutnya, BN dan PN tidak boleh mengharapkan rakyat menerima sesuatu naratif tanpa menjawab persoalan yang telah dibangkitkan.
“Dalam masa yang sama, PN juga perlu menjawab persoalan yang lebih besar. Apakah tawaran mereka kepada rakyat untuk membawa negara ke hadapan selain terus memainkan sentimen dan membahagikan masyarakat kepada kelompok ‘kami’ dan ‘mereka’?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Shafiq berkata, politik yang sentiasa mencari musuh mungkin mampu menggerakkan emosi penyokong, namun pendekatan itu tidak menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, rakyat ketika ini lebih memerlukan kepimpinan yang mampu menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi, pendidikan serta masa depan generasi muda.
“Orang Melayu, seperti seluruh rakyat Malaysia, mahukan kehidupan yang lebih baik, peluang ekonomi yang lebih luas, pendidikan berkualiti dan masa depan yang lebih terjamin.
“Rakyat tidak dikhianati kerana parti politik memilih untuk berbincang atau bekerjasama. Rakyat dikhianati apabila kepentingan mereka diketepikan demi percaturan politik yang tidak membawa penyelesaian kepada kehidupan mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan orang Melayu tidak seharusnya terus dijadikan modal politik setiap kali negara berdepan pilihan raya.
Dalam masa sama, Mohd Shafiq berkata Pakatan Harapan (PH) percaya persaingan politik dan kematangan politik boleh berjalan seiring.
Katanya, parti politik boleh bersaing serta mempertahankan prinsip masing-masing, namun perlu bersedia berbincang dan mencari titik persamaan apabila kepentingan rakyat serta kestabilan negara memerlukannya.
“PH tidak akan menolak kerjasama hanya kerana sentimen politik. Namun, PH juga tidak akan menerima sebarang kerjasama tanpa asas, prinsip dan kejelasan yang boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Melaka akhirnya akan menilai setiap parti berdasarkan pendirian, rekod dan keupayaan mereka membawa negeri itu ke hadapan.
“BN dan PN perlu menjawab persoalan rakyat mengenai asas dan hala tuju politik mereka. PH pula akan terus menawarkan pendekatan yang berprinsip, terbuka dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.
Bersatu sambut baik langkah kerajaan ringankan beban rakyat: Muhyiddin
Urus Setia jelas isu jemputan bekas PM
Kian Ming keluar DAP, mahu bantu KJ berkempen pada PRU-16
Rayuan Rosmah terhadap kes solar bermula minggu ini
Amanah Johor bidas Sanusi amal politik maki hamun, persoal PAS berdiam diri
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri