Kian Ming keluar DAP, mahu bantu KJ berkempen pada PRU-16

August 31, 2026 · Politik

Selepas 14 tahun bersama DAP, bekas timbalan menteri Ong Kian Ming hari ini mengumumkan keluar parti, namun tidak bercadang menyertai mana-mana parti politik lain atau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Sebaliknya, Kian Ming berkata beliau tetap akan membantu bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin, berkempen sekiranya Khairy diberikan kerusi untuk bertanding pada PRU-16.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Khoo Poay Tiong, Kian Ming memaklumkan peletakan jawatannya sebagai ahli DAP berkuat kuasa hari ini.

“Saya tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan saya tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU-16).

“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU-16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding,” katanya.

Pengunduran Kian Ming menyusuli beberapa tahun beliau mengambil langkah menjauhkan diri daripada politik aktif DAP.

Pada Mac 2022, beliau gagal mengekalkan kedudukan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sebelum mengumumkan mahu berehat daripada politik barisan hadapan dan tidak bertanding pada PRU-15.

Beliau kemudian menyatakan keletihan melampau serta perselisihan dengan beberapa pemimpin parti antara faktor di sebalik keputusan berkenaan.

Pada September 2024, Kian Ming turut memilih untuk tidak bertanding dalam pemilihan kepimpinan DAP Selangor kerana bimbang penyertaannya boleh meletakkan beberapa rakan dalam parti dalam kedudukan sukar menjelang pemilihan CEC kebangsaan.

Kebelakangan ini, beliau semakin lantang mengulas hala tuju DAP serta cabaran pilihan raya yang dihadapi parti itu.

Peletakan jawatan Kian Ming berlaku lebih dua minggu selepas kongres khas DAP pada 16 Ogos lalu, apabila majoriti besar perwakilan mengundi supaya parti itu kekal dalam kerajaan persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen.

Beberapa hari sebelum kongres itu, Kian Ming mengemukakan dua pilihan untuk DAP, sama ada kekal dalam Kabinet atau menarik keluar menteri parti sambil terus menyokong kerajaan dari bangku belakang.

Kian Ming menyertai DAP pada 27 Ogos 2012 selepas membina nama sebagai penyelidik dan penganalisis politik.

Beliau kemudian menjadi Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 sebelum mewakili Bangi dari 2018 hingga 2022.

Kian Ming turut berkhidmat sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dari 2018 hingga 2020.

Dalam surat peletakan jawatannya, Kian Ming mengucapkan terima kasih kepada Tony Pua kerana mengajaknya menyertai DAP serta Lim Guan Eng yang memberinya peluang bertanding di Serdang dan Bangi selain berkhidmat sebagai timbalan menteri.

“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi sepanjang penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022,” katanya.

Kian Ming berkata beliau akan terus menyumbang kepada negara melalui saluran lain termasuk podcast *Are We OK*, pelbagai jawatan penasihat serta kerjasama dengan individu yang mempunyai pemikiran dan minat sama.

Beliau mengakhiri surat peletakan jawatannya dengan ucapan, “Selamat Hari Merdeka!”

Berita berkaitan
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
8 jam lalu· Politik
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
October 9, 2026· Politik
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
October 9, 2026· Politik
Isu RM2.1 bilion KKDW: Akmal persoal laporan Guan Eng kepada SPRM
October 8, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
9 jam lalu · Politik
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
13 jam lalu · Politik
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
15 jam lalu · Politik
Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka
October 9, 2026 · Politik
Parlimen: 19 kes DNAA libatkan 12 ahli politik sejak 2010
October 9, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok