BN sedia hadapi saingan tiga penjuru dalam PRN Sabah: Mat Maslan

September 7, 2025 · Politik

UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaan mereka untuk berdepan dengan pertandingan tiga penjuru atau lebih pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah.

Keyakinan ini disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Ahmad Maslan, yang menggesa supaya persiapan jentera pilihan raya perlu diperkukuh bagi memastikan kemenangan walaupun kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) memberikan kelebihan dari segi jumlah kerusi yang dipertandingkan.

“Kalau kita dapat banyak kerusi bertanding, kemungkinan lebih banyak peluang kerusi yang kita boleh menang, tetapi jangan hanya bergantung pada jumlah kerusi itu tanpa persiapan rapi,” katanya semasa melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Api-Api di Kota Kinabalu.

Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room Pusat UMNO juga berkata situasi pertandingan pelbagai penjuru bukanlah perkara baharu di Sabah.

“Di Sabah, saingan tiga penjuru atau lebih adalah perkara biasa. Ada saingan sembilan, 10 hingga 11 penjuru pada PRN sebelum ini,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata walaupun terdapat tanggapan PH dan BN adalah parti dari Semenanjung, namun persepsi tersebut adalah tidak tepat.

Menurut beliau, kedua-dua gabungan itu mempunyai akar umbi yang kukuh di peringkat tempatan dan nasional.

“Ini kerana pemimpin di Sabah adalah orang tempatan. UMNO dan BN juga lebih lama berada dalam politik Sabah berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Justeru, perlu yakin dengan pertambahan jumlah kerusi yang akan bertanding di Sabah, BN dan PH mempunyai keupayaan lebih besar untuk menang,” ujarnya lagi.

Keputusan untuk tidak bekerjasama dengan GRS telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, pada Jumaat lalu.

Sebaliknya, BN dan UMNO Sabah memilih untuk terus bekerjasama dengan PH dalam PRN Sabah kali ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 dijadual dibubarkan secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekaligus membuka laluan untuk PRN-17 diadakan.

Pada PRN sebelumnya pada September 2020, BN berjaya memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berita berkaitan
Dakwaan tawaran AS jatuhkan kerajaan: Polis terima 12 laporan terhadap Hadi
4 jam lalu· Politik
Bukit Aman hubungi Hadi dakwaan AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan Malaysia
9 jam lalu· Politik
PRN Melaka makin dekat, DUN bubar dua Jumaat lagi Rauf beri bayangan
10 jam lalu· Politik
Tiada retak dalam hubungan PH-BN, kerajaan masih utuh: Chang Lih Kang
12 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
Mahfuz: PAS jangan jadikan syurga sebagai umpan undi
6 jam lalu · Politik
AS nafi campur tangan, AMK desak Hadi tampil dengan bukti
11 jam lalu · Politik
Dakwa kuasa asing terlibat, kenapa tak lapor polis soal ketua AMK
11 jam lalu · Politik
PRU-16 awal: AMK dakwa UMNO mahu beri laluan PAS jadi PM
14 jam lalu · Politik
Isu campur tangan AS, PKR Setiawangsa buat laporan polis terhadap Hadi
14 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok