Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat atas keperluan mewujudkan kestabilan politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Menurut Pengerusi BN itu, situasi pasca pilihan raya memerlukan kerjasama lebih luas demi memastikan kerajaan negeri dapat dibentuk dengan kukuh.
Zahid berkata, walaupun BN dan GRS tidak bergandingan ketika turun ke gelanggang PRN, landskap politik berubah sebaik sahaja keputusan diumumkan.
GRS ketika itu hanya memperoleh 29 kerusi, tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Kita kena hadap realiti. Bila GRS perlukan sokongan tambahan dan minta BN kemukakan nama untuk pelantikan, kita buat demi kestabilan.
“Ini hakikat politik… ia bukan soal angkuh atau ego, tapi soal memastikan rakyat Sabah dapat nikmati pemerintahan yang stabil,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perbincangan Cyberjaya 2025, hari ini.
Beliau turut menegaskan kerjasama BN-GRS di Sabah selari dengan hubungan kedua-dua parti di peringkat Persekutuan.
Katanya, pendekatan pragmatik adalah penting dalam suasana politik dinamik yang memerlukan keputusan pantas dan rasional.
“Politik ni bukan statik. Kita tak boleh terperangkap dalam mindset lama. Apa yang utama ialah kesejahteraan rakyat Sabah. Itu vibe yang kami bina bersama,” ujarnya lagi.
PRN Sabah Ke-17 menyaksikan persaingan sengit antara blok politik utama di negeri itu.
Keputusan yang tidak memberikan majoriti selesa kepada mana-mana gabungan membuka ruang kepada pembentukan kerjasama baharu bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan tanpa gangguan.
Penyertaan BN dalam kerajaan negeri dilihat sebagai langkah menyatukan sokongan politik dan mengelakkan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan pembangunan Sabah.
Fuziah: Jangan gopoh adakan PRU-16 hanya kerana kepentingan politik
Kerajaan bergolak saling menyerang, PAS cadang bubar Parlimen
Muktamar PAS desak lesen judi dihentikan beri kuasa kepada Negeri
PAS Terengganu cadang calon PM dari negeri itu
PAS dicabar tarik balik Amanat Hadi, ramai orang UMNO masih tersinggung
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum