Kes buli di sekolah.
Kerajaan Malaysia telah memperketat undang-undang berkaitan kes buli dengan mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara maksimum 10 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Peruntukan baru ini termaktub dalam Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] yang telah mendapat perkenan Diraja pada 25 Februari lalu dan diwartakan pada 7 Mac.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said menjelaskan bahawa pindaan ini memperkenalkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang meliputi pelbagai bentuk kesalahan buli.
Bentuk kesalahan buli antaranya melibatkan gangguan dan penghinaan, buli siber atau dalam talian, penyalahgunaan maklumat identiti dan situasi yang mendorong mangsa cubaan bunuh diri atau kematian akibat provokasi.
“Pindaan undang-undang ini akan berkuat kuasa pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta,” kata Azalina dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menekankan pentingnya semua pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan dan institusi untuk mengemas kini pengetahuan mengenai perkembangan undang-undang ini serta memastikan dasar dalaman selaras dengan pindaan tersebut.
“Kami menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat lanjut daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) atau Jabatan Bantuan Guaman yang menyediakan khidmat penerangan percuma sekiranya timbul kekeliruan,” tambah Azalina.
Menteri tersebut turut mengingatkan bahawa kejahilan tentang undang-undang bukan alasan yang boleh diterima di sisi undang-undang. “Kefahaman yang jelas terhadap hak dan tanggungjawab adalah langkah pertama membina masyarakat yang selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” tegasnya.
Pindaan undang-undang ini dilihat sebagai respons kerajaan terhadap kes-kes buli yang semakin membimbangkan, termasuk kes tragik Zara Qairina yang mendapat perhatian meluas baru-baru ini.
Dengan penguatkuasaan hukuman yang lebih berat ini, kerajaan berharap dapat mengurangkan insiden buli dan melindungi mangsa dengan lebih berkesan.
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
Agong perkenan darurat jerebu di Serian: PMO
Kes MEX II: DNAA Abu Sahid, isteri ditolak mahkamah
Pegawai IT lesap RM20,000 ditipu tawaran ‘cash out’ BNPL
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum