Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, menyatakan kesediaannya untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya akan datang, tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
“Saya akan pertahankan Parlimen Gombak!” katanya ketika berucap pada mesyuarat agung Cabang PKR Gombak hari ini.
Amirudin menegaskan komitmennya untuk kekal berkhidmat di kawasan tersebut, selaras dengan mandat yang diberikan rakyat sebelum ini.
Beliau turut mengingatkan ahli parti kejayaan yang dikecapi hari ini bukan datang secara mudah, sebaliknya hasil perjuangan panjang sejak era Reformasi 1998.
Menurutnya, jawatan dan pencapaian yang diraih tidak seharusnya dilihat sebagai keistimewaan peribadi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan berterusan demi mengekalkan keyakinan rakyat.
“Kita tidak boleh lupa akar perjuangan. Apa yang kita ada hari ini adalah amanah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan fokus utama kerajaan ketika ini adalah menyelesaikan isu rakyat yang sekian lama tertangguh di bawah agenda Kerajaan Madani.
Antara perkembangan positif termasuk penyelesaian masalah perumahan di Kampung Fajar, Kampung Barisan dan Kampung Perpaduan.
Amirudin turut memberi jaminan projek terbengkalai seperti Projek Dunia Hijau di Gombak Setia, yang berlarutan lebih sedekad, akan diselesaikan sepenuhnya tahun ini.
Selain itu, usaha menaik taraf infrastruktur di kawasan penempatan lama serta cadangan pembinaan rumah pangsa di Keramat sedang giat dijalankan.
Mengulas serangan pihak lawan, beliau mengkritik tindakan sesetengah pihak yang didakwa memutarbelitkan isu nasional demi kepentingan sendiri.
Sebagai contoh, katanya, isu penyasaran subsidi diesel sering dimanipulasi tanpa mengambil kira perbezaan penggunaan antara negeri seperti Sabah, Sarawak dan Selangor.
Beliau turut menegaskan rakyat Selangor sebenarnya masih menikmati manfaat harga petrol yang kompetitif di rantau ini.
Amirudin menyeru semua jentera parti supaya terus bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan.
“Pentadbiran di bawah pimpinan Presiden parti, Anwar Ibrahim, adalah kerajaan yang bekerja, bukan sekadar menabur janji ketika musim pilihan raya,” katanya.
Khairy kembali UMNO sebab nak bertanding kerusi pilihan raya saja: Rafizi
Jangan hanya semasa senang saja nak bersama dengan BN: Zahid
Hisham bersyukur penggantungan ditarik balik, sedia bantu UMNO kembali
ADUN PAS minta MB Perlis jelaskan sebab tangguh sidang DUN
Khairy dan Hishammuddin antara yang diterima balik masuk UMNO: Asyraf Wajdi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan