Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berjaya menyelamatkan dan menyita jutaan ringgit wang mangsa penipuan dalam talian, termasuk RM2.57 juta yang sudah dipulangkan kepada mangsa bagi tempoh Januari hingga April lalu.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebanyak RM4.07 juta berjaya diselamatkan melalui tindakan sekatan transaksi atau *earmark*, manakala RM5.54 juta lagi disita dalam tempoh berkenaan.
Daripada jumlah wang yang disita itu, RM2,569,655.73 atau 46.42 peratus sudah dipulangkan kepada mangsa.
“Susulan tindakan itu, dalam tempoh Januari hingga April lalu, sejumlah RM4,071,805.43 berjaya diselamatkan melalui tindakan *earmark*, manakala RM5,535,841.10 disita.
“Daripada jumlah wang yang disita itu, sebanyak RM2,569,655.73 atau 46.42 peratus sudah dipulangkan kepada mangsa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Mohd Nadzri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai punca dan jenis utama penipuan dalam talian, jumlah kerugian dilaporkan serta wang mangsa yang berjaya disekat atau dipulihkan oleh NSRC.
Bagaimanapun, kerugian akibat jenayah itu masih tinggi apabila NSRC merekodkan sebanyak RM125.29 juta bagi tempoh Januari hingga April lalu, membabitkan 5,944 laporan yang diterima melalui talian perkhidmatannya setakat April.
Penipuan e-Belian mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 2,405 kes, diikuti jenayah telekomunikasi sebanyak 1,026 kes dan pinjaman tidak wujud sebanyak 894 kes.
Menurut Saifuddin, penjenayah semakin licik menggunakan teknologi digital dan identiti palsu untuk memperdaya mangsa, selain memanfaatkan media sosial, aplikasi komunikasi serta pelbagai platform digital.
“Penjenayah juga memanfaatkan keterbukaan media sosial, aplikasi komunikasi dan platform digital untuk mendekati mangsa dengan lebih mudah dan pantas melalui pelbagai tawaran yang kelihatan sah dan meyakinkan,” katanya.
Beliau berkata, penjenayah turut menggunakan teknik manipulasi psikologi atau *social engineering* dengan mengeksploitasi kepercayaan, emosi dan kecuaian mangsa, termasuk melalui tawaran keuntungan besar dalam tempoh singkat.
Kegiatan sindiket yang beroperasi merentasi sempadan negara juga menyukarkan usaha membanteras jenayah berkenaan kerana mereka menggunakan identiti, akaun dan infrastruktur digital di pelbagai bidang kuasa.
Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama NSRC dengan agensi berkaitan dan institusi kewangan bagi mempercepat tindakan terhadap laporan penipuan, menyekat aliran wang serta meningkatkan peluang mangsa mendapatkan semula wang mereka.
Tindakan segera mangsa menghubungi NSRC dan membuat laporan selepas menyedari ditipu penting bagi membolehkan transaksi dikesan serta wang berpotensi disekat sebelum dipindahkan atau dikeluarkan oleh penjenayah.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum