Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Cadangan untuk mewujudkan Hari Muzik Negara kini sedang diteliti secara aktif oleh Kementerian Komunikasi dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Inisiatif ini bertujuan memberi pengiktirafan menyeluruh kepada seluruh penggiat industri muzik tanah air.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata cadangan tersebut merupakan hasil daripada kajian industri muzik nasional yang dijalankan selama dua tahun oleh MyCreative Ventures bersama Bahagian Pembangunan Kandungan kementeriannya.
Kajian komprehensif itu merangkumi seluruh ekosistem industri termasuk aspek royalti, artis, penganjur acara, penerbit dan penulis lirik.
“Hasrat kita adalah untuk memberi pengiktirafan bukan sahaja kepada mereka yang berada di atas pentas, tetapi juga kepada tenaga di sebalik tabir termasuk mereka dalam bidang akademik dan semua yang berkecimpung dalam dunia muzik,” jelas Fahmi dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini.
Beliau menjelaskan cadangan ini masih di peringkat awal dan kajian tersebut sedang diteliti secara menyeluruh sebelum dibawa untuk pertimbangan kabinet.
Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bulan lepas bagi mengkaji laporan terperinci yang telah dibentangkan kepada kementerian.
Fahmi turut menyatakan potensi besar sambutan ini sekiranya mendapat kelulusan.
“Sambutan Hari Muzik Negara berpotensi menjadi platform tahunan untuk meraikan bakat tempatan, mengangkat industri muzik sebagai pemacu ekonomi kreatif, serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem muzik serantau,” ujarnya.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam menghargai sumbangan semua pihak dalam industri muzik tempatan, sekaligus mengukuhkan lagi landskap seni dan budaya negara.
Mesyuarat dua hala Anwar dengan PM China bincang kerjasama perdagangan, kestabilan serantau
Perjanjian dimerterai semasa sidang ASEAN bukan sekadar atas kertas: PMX
Usahawan hartanah mengaku tidak bersalah dalam kes gaduh yang tular
Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan AS boleh jejas kedaulatan ekonomi: Azmin
[VIDEO] Langkah perangi scam dan buli siber diperhebat, buru pesalah
[VIDEO] Selepas dipecat Bersatu jadi dalang SD, Wan Saiful anggap dirinya jadi mangsa