Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) sekali lagi menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih sah dan tidak berubah.
Setiausaha Dewan Raja Norazli Raja Nordin berkata, Tuanku Muhriz dipilih oleh para Undang dan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Disember 2008 sebelum ditabalkan secara rasmi pada 26 Oktober 2009.
Menurutnya, kedudukan itu terus dipegang Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), termasuk peranan baginda sebagai Yang Dipertua Dewan.
“UUTKNS 1959 memperuntukkan satu-satunya cara yang sah bagi jawatan tersebut menjadi kosong. Ia memerlukan proses tertentu, termasuk penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya oleh para Undang serta penentuan wujudnya alasan seperti diperuntukkan dalam Perkara 10,” katanya dalam perutusan rasmi hari ini.
Raja Norazli berkata, proses itu turut memerlukan pelaksanaan kuasa oleh Undang yang memegang jawatan secara sah dalam bilangan ditetapkan Perkara 29, selain proklamasi di bawah Perkara 10(2).
Beliau menegaskan tiada satu pun daripada syarat berkenaan dipenuhi setakat ini.
Sehubungan itu, katanya, Tuanku Muhriz terus menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sejak 19 April lalu, manakala DKU juga terus bersidang dengan baginda sebagai Yang Dipertua.
“Tiada kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Besar dan Perkara 11 hanya terpakai apabila jawatan berkenaan kosong. Ia tidak boleh digunakan untuk memilih pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” katanya.
Beliau turut menegaskan tempoh pemerintahan Tuanku Muhriz hanya boleh ditamatkan mengikut kaedah yang ditetapkan UUTKNS 1959.
“Dewan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan tersebut,” katanya.
Kenyataan DKU itu hadir ketika kedudukan institusi diraja Negeri Sembilan menjadi perhatian susulan perkembangan politik dan pentadbiran negeri sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan unik berasaskan Adat Perpatih, dengan pemilihan Yang di-Pertuan Besar dibuat oleh Undang Yang Empat mengikut peruntukan undang-undang negeri.
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum