DUN Sarawak bubar secara rasmi hari ini, SPR tentukan tarikh PRN

October 26, 2026 · Politik

Sarawak kini memasuki fasa kerajaan sementara selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan secara rasmi hari ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13).

Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg berkata, sepanjang tempoh pentadbiran sementara, kerajaan negeri akan terus melaksanakan tanggungjawabnya mengikut kehendak dan kelaziman perlembagaan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, pentadbiran awam serta perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan dan kebajikan rakyat tidak terjejas.

“Pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Pembubaran DUN diumumkan Abang Johari pada Jumaat lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Selaras dengan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Tumpuan kini terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh mesyuarat khas bagi membincangkan jadual PRN13, termasuk tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Setiausaha SPR, Khairul Shahril Idrus sebelum ini dilaporkan berkata, tarikh mesyuarat khas itu akan ditentukan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi pembubaran DUN daripada Speaker DUN Sarawak.

Mandat semasa DUN Sarawak yang mempunyai 82 kerusi dijadualkan berakhir pada Februari 2027.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula memenangi empat kerusi, manakala DAP memperoleh dua kerusi.

Bagaimanapun, bekas ADUN Batu Lintang, See Chee How, kemudian keluar daripada PSB dan menjadi wakil rakyat Bebas.

GPS yang dipengerusikan Abang Johari terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

PRN13 dijangka menjadi medan penting bagi GPS mempertahankan mandat besar yang diperoleh pada 2021, selain menentukan hala tuju kepimpinan dan pembangunan Sarawak untuk tempoh lima tahun akan datang.

Berita berkaitan
MCA tidak puas hati, dakwa UMNO ketepikan rundingan kerusi di Melaka: Laporan
October 26, 2026· Politik
Padan muka MCA hanya diberi dua kerusi di Melaka: PKR
14 jam lalu· Politik
PRN Melaka: Adam Adli yakin calon baharu PKR mampu buat kejutan
22 jam lalu· Politik
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
22 jam lalu· Politik
Lagi Politik terkini
AMK: Rafizi perlu jawab dakwaan, bukan sekadar saman Ramanan
October 26, 2026 · Politik
Kes Jalur Gemilang: Representasi Akmal ditolak, mahu kemuka permohonan kedua
October 26, 2026 · Politik
Bersatu bimbang mesyuarat khas MT PN berdepan risiko undang-undang
16 jam lalu · Politik
Zahid beri jaminan, kemelut calon MCA akan diselesaikan
22 jam lalu · Politik
PRN Melaka: PKR tawar 30 peratus calon wanita
22 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok