Kes scam..
Gara-gara terpedaya dengan janji pulangan lumayan dalam tempoh empat jam, seorang wanita warga emas kerugian RM87,975.04 selepas menyertai skim pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud.
Mangsa berusia 63 tahun yang bekerja sebagai suri rumah bukan sahaja kehilangan wang simpanan peribadi sebanyak RM20,000, malah terpaksa menggadaikan barang kemas untuk menyediakan wang tambahan bagi memenuhi permintaan suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 3 Oktober lalu ketika mangsa berada di rumahnya di Wakaf Tembesu, di sini, sebelum tertarik dengan iklan pelaburan saham yang dilihat menerusi Facebook.
Menurutnya, mangsa kemudian menekan pautan iklan berkenaan sebelum berhubung dengan dua individu melalui aplikasi WhatsApp yang memberikan penerangan mengenai pelaburan itu.
“Suspek menjanjikan pulangan lumayan dengan modal RM450, mangsa dijanjikan keuntungan mencecah RM25,000 dalam tempoh hanya empat jam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Azli berkata, mangsa membuat sembilan transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza antara 3 hingga 12 Oktober lalu selepas mengikut arahan individu terbabit.
Mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan, termasuk kos pemprosesan wang, kos guaman, bayaran akibat kesilapan nombor pengesahan transaksi (TAC) sebanyak enam kali serta kos tandatangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, sekali gus menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan sebelum membuat laporan polis pada jam 7.58 malam, 18 Oktober lalu.
“Siasatan mendapati wang yang digunakan mangsa terdiri daripada simpanan peribadi sebanyak RM20,000 dan hasil gadaian barang kemas di bank berjumlah RM67,975.04,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Kes ini sekali lagi menjadi peringatan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, terutama melalui iklan media sosial.
Pelabur juga perlu membuat semakan terhadap pihak yang menawarkan pelaburan dan mengelakkan pembayaran tambahan berulang kali atas alasan untuk melepaskan keuntungan yang kononnya sudah diperoleh.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum