Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Kerajaan masih terus mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan had umur minimum 16 tahun untuk memiliki akaun media sosial sebelum dasar itu dikuatkuasakan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, proses yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan mendapatkan pandangan menyeluruh selain menjelaskan matlamat sebenar kerajaan.
“Libat urus ini penting supaya semua pihak faham bahawa tujuan utama bukan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di alam maya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Datum bersempena dengan Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2026 di The Linc KL hari ini.
Beliau menegaskan cadangan tersebut sering disalah tafsir seolah-olah kanak-kanak dihalang terus daripada menggunakan Internet.
Hakikatnya, akses masih dibenarkan, tetapi perlu di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
“Kita tidak mahu kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun sendiri tanpa kawalan. Namun jika ibu bapa yang mengurus dan memantau akaun, itu tidak menjadi masalah,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, langkah ini turut mengambil kira kebimbangan pihak keselamatan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang melihat risiko tinggi terhadap kanak-kanak di platform digital tanpa pengawasan.
Beberapa tahun kebelakangan ini, kes jenayah siber melibatkan remaja semakin membimbangkan, termasuk eksploitasi seksual dan buli siber.
Fahmi merujuk kepada insiden tragis yang melibatkan mangsa remaja yang berkenalan dengan pelaku melalui media sosial serta kes buli siber yang membawa kepada kematian.
Cadangan ini juga berkait dengan peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak sejak pandemik, yang memperlihatkan pendedahan lebih luas kepada risiko dalam talian.
Fahmi turut memberi jaminan kerajaan terbuka menerima pandangan berbeza sebelum keputusan dibuat.
“Saya bersedia bertemu mana-mana pihak untuk mendengar cadangan mereka. Kita mahu pendekatan yang seimbang, tetapi keutamaan tetap memastikan ruang Internet yang lebih selamat,” katanya.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian usaha lebih besar kerajaan dalam memperkukuh keselamatan digital, khususnya bagi golongan muda yang semakin aktif di dunia dalam talian.
Baja lambat sampai, Anwar arah SPRM siasat
Mufti Wilayah ingatkan bahaya istilah ‘menunggang agama’
SMART berlepas ke Nepal, cari mangsa tanpa kira negara
Jerebu teruk, 647 sekolah Sarawak ditutup lima hari
PMX mahu hentikan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum